Silverlakes, Perak, 15 Disember 2023 – Selari dengan inisiatif Tahun Melawat Perak 2024, Dinosaur Encounter World muncul mengisi ruang di Silverlakes Village Outlet sebagai taman didik-hibur yang imersif pertama di Malaysia, sekaligus tambah merancakkan lagi sektor pelancongan negara.
Taman tema berkonsepkan hiburan dan pendidikan ini diperkenalkan oleh Wegrow Global Sdn Bhd (WGSB) yang menjanjikan pengalaman eksklusif dan menarik bagi setiap pengunjung.
Di dalam kenyataan media WGSB menyifatkan taman ini sebagai pengalaman baharu yang bakal menembusi industri taman tema dengan menggabungkan pengembaraan interaktif dinosaur dan aktiviti membeli-belah, terutamanya setelah fasa kedua yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi.
Bertemakan “Area 65: Back from Extinction” (Kawasan 65: Kembali dari Kepupusan), ia memberi peluang untuk pengunjung melihat sendiri makmal pengklonan dinosaur yang dihidupkan dengan teknologi terkini.

Ketua Pegawai Teknologi dan Pengurus Besar Wegrow Global, Dr. Anir Syazwan Sharbirin berkata taman ini dilengkapi dengan elemen yang lebih unik dan eksklusif iaitu Dino Matrix dengan mewujudkan pengalaman dalam kembara realiti campuran berbentuk Pengembaraan Gerakan Imersif 5D.
“Teknologi moden ini, yang akan dibawa pada fasa kedua boleh saya katakan pertama di Malaysia, akan menjanjikan anda semua pengalaman imersif berbentuk lima dimensi dan diiktiraf antarabangsa, direka khusus untuk penggemar interaktif,” kata beliau lagi.
Selain itu, beliau turut berkata bahawa berbeza dengan strategi konvensional, taman ini menggunakan aplikasi yang lebih dinamik dengan menggabungkan pengalaman imersif dengan aktiviti-aktiviti santai, memberikan pengalaman yang holistik kepada pengunjung.
Di samping itu, pelancaran Dinosaur Encounter World dianggap penanda aras kemajuan bagi sektor pelancongan negara yang kian membangun dan berkembang meluas susulan sambutan hangat masyarakat Malaysia.
“Kepakaran kami dalam teknologi animatronik sememangnya tidak ditandingi oleh mana-mana pemain industri lain. Bagi Dinosaur Encounter World pula, ia bukan sahaja dapat menyumbang kepada ekonomi tempatan malah membuka lebih banyak ruang untuk pembangunan taman didik-hibur seterusnya membina insan yang seimbang dengan manfaat teknologi moden,” tambah Dr. Anir Syazwan lagi.
Kerjasama strategik antara Wegrow Global Sdn. Bhd. dan Silverland Capital Sdn. Bhd. untuk pembangunan Dinosaur Encounter World di Silverlakes dianggap sebagai perubahan paradigma dalam industri hiburan dengan konsep baharu yang menyeluruh dan menarik bagi para pengunjung.

Editor dalam talian dan penulis di majalah Gaya Travel dan Akses Malaysia. Kebahagiaan sebenar adalah apabila berada di jalanan mengembara, mengenali dan melihat dunia.














































