KUALA LUMPUR, 13 Oktober 2026 – Platform mencari jodoh masyarakat India tempatan, Dum Dum Matrimony, menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai “Platform Mencari Jodoh India Terbesar” selepas enam tahun berkembang daripada sebuah inisiatif dari rumah.
Perkhidmatan yang diasaskan pada tahun 2020 oleh Poshini Devi itu bermula secara manual menerusi aplikasi WhatsApp sebelum dinaik taraf kepada platform dalam talian pada 2023 dan pelancaran aplikasi mudah alih pada 2025 bagi menampung pangkalan data yang kian meningkat.
Kini, platform tersebut mempunyai lebih 12,000 pengguna berdaftar dan telah memudah cara lebih 1,000 perkahwinan yang melibatkan warganegara Malaysia dan Singapura, merangkumi golongan bujang, ibu atau bapa tunggal, serta balu dan duda.
Pengasasnya, Poshini Devi, menjelaskan bahawa keutamaan platform berkenaan adalah membina perkhidmatan yang mampan dan mudah diakses, di samping memelihara kepercayaan serta kerahsiaan profil setiap keluarga pengguna.
“Fokus kami adalah membina platform mencari jodoh yang mampan untuk memudahkan pencarian pasangan hidup, sambil mengekalkan kepercayaan dan privasi yang diharapkan oleh keluarga,” kata beliau.
Diuruskan bersama Pengarah Urusannya, T. Sathiyavarmaan, syarikat yang kini beroperasi dari Brickfields itu memberi tumpuan khusus kepada niat perkahwinan berbanding perkhidmatan janji temu santai (dating), disokong oleh kawalan privasi ketat seperti pengesahan swafoto, kad pengenalan dan panggilan telefon tanpa perkongsian maklumat kepada pihak ketiga.
Susulan pengiktirafan MBOR ini, Dum Dum Matrimony merancang untuk meneroka potensi pasaran antarabangsa secara berfasa ke beberapa negara seperti Australia, Kanada, Sri Lanka dan India bagi menghubungkan komuniti India rentas sempadan.
Akses Malaysia menyediakan berita terkini di dalam Malaysia dan luar negeri termasuk maklumat tentang usaha-usaha kerajaan, korporat, institusi pengajian, kampus, isu-isu global, ekonomi, tren terkini, dan pelbagai lagi.


































