KUALA LUMPUR, 31 Febuari 2026 – Penyedia latihan keselamatan siber global, EC-Council, melancarkan Enterprise AI Credential Suite yang memperkenalkan empat pensijilan kecerdasan buatan (AI) berasaskan peranan serta versi terkini Certified CISO v4 bagi memperkukuh kepimpinan keselamatan siber dalam era dipacu AI.
Pelancaran serentak itu merupakan pengembangan terbesar portfolio organisasi berkenaan sepanjang 25 tahun penubuhannya dan bertujuan menangani jurang kemahiran tenaga kerja dalam aspek penggunaan, perlindungan serta tadbir urus AI pada skala besar.
Inisiatif tersebut dilihat selari dengan agenda nasional susulan penubuhan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) pada penghujung 2024 bagi menyelaras dasar, inovasi dan pembangunan bakat AI negara.
Presiden Kumpulan EC-Council, Jay Bavisi berkata hala tuju AI Malaysia kini semakin jelas dan memerlukan pembangunan keupayaan secara menyeluruh.
“Portfolio ini dibangunkan bagi membantu profesional memperoleh kemahiran praktikal dalam aspek penggunaan, perlindungan dan tadbir urus supaya organisasi dapat memperluaskan AI dengan yakin serta bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, apabila AI beralih daripada projek perintis kepada pelaksanaan dalam operasi harian, organisasi memerlukan tenaga kerja yang mampu mengurus risiko baharu termasuk ancaman terhadap model bahasa besar (LLM), keracunan data serta eksploitasi rantaian bekalan AI.
Empat pensijilan baharu yang diperkenalkan ialah Artificial Intelligence Essentials (AIE), Certified AI Program Manager (CAIPM), Certified Offensive AI Security Professional (COASP) dan Certified Responsible AI Governance & Ethics Professional (CRAGE).
Pensijilan tersebut distrukturkan berdasarkan rangka kerja Adopt. Defend. Govern. (ADG) yang memberi tumpuan kepada pelaksanaan AI secara terancang, perlindungan sistem daripada ancaman serta pengintegrasian tadbir urus dan pengurusan risiko sejak peringkat awal.
Seiring pengenalan pensijilan AI berkenaan, Certified CISO v4 turut dikemas kini bagi memperkukuh kesiapsiagaan pemimpin keselamatan siber dalam mengurus sistem pintar yang semakin menjadi teras operasi perniagaan dan proses membuat keputusan.
Pelancaran ini turut menyokong aspirasi transformasi digital negara di bawah Pelan Tindakan MyDIGITAL, dengan ekonomi digital kini menyumbang lebih 23 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
EC-Council memaklumkan portfolio baharu itu juga membuka ruang kerjasama berterusan dengan organisasi kerajaan dan pertahanan, termasuk pengiktirafan pensijilan asas DoD 8140 sedia ada, dalam usaha memperkukuh keselamatan AI sebagai kepentingan nasional.
Maklumat lanjut mengenai latihan dan pensijilan AI boleh diperoleh menerusi perpustakaan kursus AI EC-Council di laman sesawang rasminya.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































