KUALA LUMPUR, 8 Sept – Empat kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat setakat 3 petang hari ini, mendorong Jabatan Alam Sekitar (JAS) mempertingkat pemantauan dan penguatkuasaan bagi menangani jerebu.
Kuching merekodkan bacaan tertinggi dengan IPU 261, diikuti IPD Serian (254), Sri Aman (234) dan Samarahan (231). Sebanyak 24 kawasan lain di Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Sarawak pula berada pada tahap tidak sihat.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAS, Hajah Azuri Azizah Saedon, berkata keadaan itu dipengaruhi cuaca kering berterusan di Rantau Selatan ASEAN serta jerebu rentas sempadan.
Menurutnya, laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) mengesan 109 titik panas di Kalimantan dan 119 titik panas di Sumatera.
Kualiti udara tempatan turut terjejas akibat kebakaran hutan paya gambut dan tapak pelupusan sampah di beberapa kawasan, termasuk Kampung Kut dan Sungai Nai di Daro serta Selalang di Sarikei.
Di Pengerang, Johor, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang memadamkan kebakaran di kawasan gambut seluas 17 hektar.
JAS berkata pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dipertingkatkan di bawah Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) bagi mengawal kesan jerebu dan pembakaran terbuka.
Di bawah pelan itu, sekolah, tadika dan taska perlu ditutup sekiranya bacaan IPU melebihi 200. Operasi Pembenihan Awan pula boleh dilaksanakan, tertakluk kepada kehadiran awan, apabila IPU melebihi 150 selama 24 jam.
JAS turut mengingatkan bahawa pembakaran terbuka merupakan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 dan boleh membawa denda antara RM25,000 hingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun.
Jerebu di Sarawak sejak beberapa hari kebelakangan ini dikaitkan dengan keadaan cuaca kering dan asap daripada kebakaran di rantau ini, dengan beberapa kawasan negeri itu sebelum ini turut mencatatkan bacaan IPU pada tahap berbahaya. (AP News )
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.


































