KAJANG, 20 Oktober 2026 – Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis merekodkan kadar penagihan dan penyalahgunaan dadah atau bahan tertinggi di Malaysia setakat Jun 2026, daripada keseluruhan 130,307 kes yang dicatatkan di seluruh negara pada nisbah 381 orang bagi setiap 100,000 penduduk.
Berdasarkan data bersepadu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pusat Pemulihan Persendirian (PPP), Terengganu mencatatkan kadar tertinggi dengan 735 orang bagi setiap 100,000 penduduk, disusuli Kelantan (694), Kedah (669) dan Perlis (646), dengan faktor geografi laluan penyeludupan rentas sempadan dikenal pasti sebagai antara penyumbang utama risiko berkenaan.

Ketua Pengarah AADK, Dato’ Ruslin bin Jusoh, menegaskan bahawa agensi itu mengutamakan intervensi berasaskan data serta kerjasama padu bersama barisan kepimpinan negeri bagi menangani penularan gejala terbabit secara tuntas di semua peringkat.
“AADK kekal komited untuk memperkukuh usaha dengan kerajaan negeri melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Ketua Menteri dan Premier bagi menangani masalah penagihan dan penyalahgunaan dadah melalui kerjasama pelbagai agensi serta penglibatan aktif keluarga, institusi pendidikan dan komuniti demi kesejahteraan masyarakat,” kata beliau.
Bagi mengekang masalah itu, sebanyak 4,253 operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan di seluruh negara setakat 18 Oktober 2026 dengan penahanan 30,157 individu untuk menjalani program rawatan dan pemulihan, manakala 242 program pencegahan digerakkan membabitkan 16,408 peserta, khususnya di kawasan berisiko tinggi.
Dalam aspek rawatan, purata individu yang tampil secara sukarela mencatatkan lonjakan kepada 232 orang sebulan pada tahun ini berbanding 75 orang sebulan pada 2025, menandakan reaksi positif terhadap penguatkuasaan pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang mula berkuat kuasa sejak 22 Ogos 2025.
Akses Malaysia menyediakan berita terkini di dalam Malaysia dan luar negeri termasuk maklumat tentang usaha-usaha kerajaan, korporat, institusi pengajian, kampus, isu-isu global, ekonomi, tren terkini, dan pelbagai lagi.


































