KUANTAN, 20 Ogos 2023 — Festival Kesenian Peribumi Malaysia 2023 (FeSKEP) telah berlangsung dari 18 hingga 20 Ogos 2023 anjuran bersama antara Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya (MOTAC) bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Persatuan Seni Silat Senaman Gerak Sentuhan Kuantan.
Festival ini diadakan di Teluk Cempedak, Kuantan, dengan tujuan untuk menonjolkan keunikan budaya masyarakat peribumi dari pelbagai suku kaum serta memupuk semangat perpaduan dalam aktiviti seni dan budaya.
Persembahan Gala pada malam terakhir turut dihadiri YB Leong Yu Man, Exco Perpaduan, Pelancongan, dan Kebudayaan Negeri Pahang yang berlangsung pada pukul 8.45 malam.
Objektif utama festival ini adalah untuk mendedahkan pelbagai keunikan etnik dan budaya masyarakat peribumi dari berbagai suku kaum, dan sekaligus memperkuat semangat perpaduan di kalangan masyarakat.
Program ini juga memberikan impak positif kepada industri pelancongan negara melalui penekanan seni budaya masyarakat peribumi dalam kalangan masyarakat tempatan.
Pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan sepanjang festival ini yang melibatkan kepelbagaian seni dan budaya masyarakat peribumi daripada pelbagai negeri, termasuklah Pahang (Semelai dan Jahut), Selangor (Mah Meri dan Bah Bola), Negeri Sembilan (Temuan), Kelantan (Bateq), dan Terengganu (Semoq Beri).
Selain itu, pameran dan jualan produk-produk dari pelbagai etnik turut diadakan untuk menarik minat pengunjung. Produk-produk kraftangan seperti bakul dan tikar mengkuang, hasil ukiran tangan, akar kayu dan herba, serta peralatan tradisional turut dipamerkan dan dijual.
Pelbagai pertandingan seperti Battle of The Band, Mewarna, Gadis Cantik & Jejaka Tampan, Permainan Rakyat, Silat Pahlawan, Demonstari Cegah Kebakaran & Pameran Bas Bergerak Bomba, serta Perkampungan Mini Orang Asli juga telah diadakan sepanjang festival.
Mohd Amran bin Mohd Haris, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar & Perancangan) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara menyatakan bahawa festival ini bukan hanya membantu meningkatkan ekonomi masyarakat orang asal tempatan melalui penjualan produk mereka, tetapi juga mempromosikan Teluk Cempedak sebagai destinasi ikonik di Pantai Timur. Program ini juga adalah usaha JKKN untuk menyemarakkan seni budaya masyarakat peribumi agar terus terpelihara di masa akan datang.