KUALA LUMPUR, 14 Disember 2025 – Warisan masyarakat Orang Asli dan Orang Asal perlu diiktiraf sebagai tonggak asas kepada identiti budaya dan sejarah negara, tegas aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Irama Asli & Asal 2025 yang melabuhkan tirainya hari ini di Berjaya Times Square, selepas tiga hari berlangsung dengan penuh warna-warni.

Festival anjuran Yayasan Kesenian Orang Asli & Asal (YKOA) ini menghimpunkan komuniti Orang Asli Semenanjung serta Orang Asal dari Sabah dan Sarawak untuk meraikan muzik, tarian, kraftangan, dan ilmu tradisional mereka.
Menurut Lam Thye, penganjuran festival ini bukan sekadar pameran kebudayaan semata-mata, sebaliknya merupakan platform kritikal untuk menghargai legasi hidup masyarakat yang telah wujud jauh lebih awal sebelum pembentukan Malaysia moden.
“Kita hadir untuk memahami sejarah, ketahanan dan semangat Orang Asli serta Orang Asal. Bahasa, hasil kraf, muzik, tarian dan nilai yang berteraskan keharmonian dengan alam semula jadi merupakan khazanah negara yang tidak ternilai.
“Dalam dunia yang berdepan dengan perubahan iklim dan krisis alam sekitar, kebijaksanaan mereka dalam menyeimbangkan hidup dengan alam merupakan pengajaran untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi YKOA, Dr. Andre Ratos berkata, festival tahun kedua ini meneruskan legasi mendiang bapanya, Datuk Antony Ratos dalam memperjuangkan maruah dan kebajikan komuniti peribumi.
“Festival ini menyatukan Orang Asli Semenanjung Malaysia dan Orang Asal Sabah serta Sarawak, bukan sebagai komuniti yang terpisah, tetapi sebagai dua tonggak kepada satu warisan bersama,” ujar beliau.
Sepanjang tiga hari penganjuran bermula 12 Disember lalu, pengunjung disajikan dengan persembahan tarian kaum Semai serta etnik Borneo, demonstrasi kraftangan, dan pameran makanan etnik.
Acara ini turut mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), dan Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM).
YKOA turut mengulangi komitmennya untuk terus bekerjasama dengan pemimpin peribumi bagi memastikan sistem ilmu dan seni masyarakat tersebut kekal subur sebagai sebahagian daripada identiti kebangsaan yang dinamik.

Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.















































