KUALA LUMPUR – Peminat filem di Malaysia bakal disajikan dengan filem sci-fi seram makhluk asing terbaharu dari Korea Selatan bertajuk Hope (호프) yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 10 September 2026.
Filem terbaharu arahan pengarah terkemuka Na Hong-jin (The Wailing) ini merupakan antara produksi filem Korea paling mahal pernah dihasilkan, selain menandakan kemunculan semula selepas sedekad. Filem ini turut membuat kemunculan julung kali dalam pertandingan utama di Festival Filem Cannes 2026.
Berlatarbelakangkan pekan rekaan Hope Harbor berdekatan Zon Bebas Tentera (DMZ) Korea, jalan cerita mengisahkan ketua polis Bum-seok (Hwang Jung-min) dan pegawai muda Sung-ae (Jung Ho-yeon) yang sedang menyiasat ancaman makhluk misteri dalam komuniti mereka, sementara kumpulan pemburu diketuai Sung-ki (Zo In-sung) bertukar menjadi mangsa buruan.
Tambahan lagi, filem berskala besar ini turut menampilkan nama-nama besar bintang Hollywood seperti Michael Fassbender, Alicia Vikander, Taylor Russell dan Cameron Britton.
Filem dengan masa tayangan kira-kira 155 hingga 160 minit ini menjanjikan aksi suspen, humor gelap serta pertembungan kosmik.
Hope yang mula ditayangkan di Korea Selatan pada 15 Julai 2026 telah mencatatkan kejayaan pecah panggung selain pra-jualan hak tayangan di lebih 200 wilayah di seluruh dunia.
Manakala di Malaysia, filem ini bakal ditayangkan di rangkaian pawagam utama seperti GSC dan TGV dengan klasifikasi 18.

Editor dalam talian dan penulis di majalah Gaya Travel dan Akses Malaysia. Kebahagiaan sebenar adalah apabila berada di jalanan mengembara, mengenali dan melihat dunia.


































