HULU KELANG, 2 April 2026 — Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) hari ini menanda tangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Tourism Malaysia bagi memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi utama penggambaran antarabangsa melalui integrasi industri kreatif dan pelancongan.
MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib bersama Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim. Kerjasama strategik ini bakal memanfaatkan kandungan filem dan televisyen sebagai medium untuk mempromosikan keunikan budaya, warisan serta destinasi percutian Malaysia ke pasaran global.
Inisiatif “destinasi pelancongan skrin” ini telah terbukti berkesan dalam meningkatkan visibiliti negara. Antara kejayaan besar negara termasuk menjadi lokasi penggambaran produksi antarabangsa berprofil tinggi seperti filem Hollywood Thunderbolts terbitan Marvel Studios di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur, serta siri drama Lord of the Flies untuk BBC di Langkawi.
Bagi mengekalkan momentum tersebut, FINAS baru-baru ini telah mengumumkan peruntukan RM300 juta bagi rebat Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) untuk tempoh lima tahun akan datang semasa pelancaran Hong Kong FILMART pada Mac lalu.
Berdasarkan rekod sejak diperkenalkan pada 2013 sehingga 2025, FIMI telah meluluskan 243 produksi tempatan dan antarabangsa yang menjana perbelanjaan langsung sebanyak RM2.86 bilion serta mewujudkan lebih 31,050 peluang pekerjaan. Ia turut menyumbang kepada kesan limpahan ekonomi melebihi RM8 bilion merentasi sektor perhotelan, pengangkutan, dan makanan.
Dengan MoU terbaharu ini, FINAS akan menerajui pembangunan kandungan kreatif berimpak tinggi, manakala Tourism Malaysia akan menyediakan akses kepada aset promosi strategik, terutamanya bagi menyokong platform global seperti Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Sinergi rentas sektor ini dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan pelaburan produksi antarabangsa, selari dengan aspirasi ekonomi kreatif MADANI. Sebagai rekod, sektor pelancongan negara mencatatkan 42.2 juta ketibaan pelawat antarabangsa pada tahun 2025, peningkatan 11.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.













































