KUALA LUMPUR, 21 Mei 2025 – Forum Pembangunan Komuniti Perniagaan ASEAN (ABCD) 2025 akan berlangsung pada 7 Ogos ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan penyertaan kira-kira 450 pemimpin perniagaan, pembuat dasar dan inovator dari kesemua 10 negara ASEAN.
Forum tersebut akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Tetamu Kehormat.
Menurut kenyataan penganjur hari ini, forum itu dianjurkan oleh Persekutuan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) dengan sokongan Dewan Perdagangan dan Industri ASEAN (ACCI) Malaysia serta pengiktirafan rasmi daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Bertemakan “Memperkasa Langkah Seterusnya ASEAN: Transformasi Digital, Lestari dan Keusahawanan”, forum berkenaan merupakan inisiatif utama sempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.
Forum tersebut akan menampilkan tiga sesi fokus iaitu Memacu Masa Depan Digital ASEAN, Membina ASEAN yang Lestari dan Menyemarakkan Semangat Keusahawanan ASEAN, yang memberi penekanan kepada teknologi kecerdasan buatan (AI), fintech, e-dagang rentas sempadan, pembiayaan hijau serta pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Antara tokoh yang dijadual hadir termasuk mantan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak; mantan Pengarah Eksekutif APEC Tan Sri Dr Rebecca Sta Maria; Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan dari Tenaga Nasional Berhad; Presiden FMBA merangkap Pengerusi Kumpulan D’Tandoor Dato’ Seri Abdul Malik Abdullah; serta Presiden The Law Society of Singapore Lisa Sam Hui Min.
Turut disenaraikan ialah Pengasas BAC Education Group S. Raja Singham dan Pengerusi Eksekutif Adinin Group of Companies dari Brunei, Haji Musa Haji Adnin.
Forum itu juga menyediakan platform pemadanan perniagaan, peluang pelaburan serta akses kepada dasar dan insentif terkini bagi PMKS ASEAN selain membuka ruang jaringan dengan pembuat dasar dan pembeli korporat rantau ini.



Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.















































