PUTRAJAYA, 20 Oktober 2026 — Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) membatalkan pendaftaran Parti Perikatan Nasional selepas penjelasan dan maklum balas yang dikemukakan parti itu didapati tidak mencukupi untuk mengekalkan status pendaftarannya.
Dalam kenyataan hari ini, JPPM memaklumkan keputusan itu dibuat oleh Pendaftar Pertubuhan selepas meneliti dokumen serta penjelasan yang dikemukakan Perikatan Nasional pada 12 Okt lepas.
Menurut JPPM, alasan yang diberikan parti itu tidak dapat menyangkal asas pembatalan pendaftaran yang dinyatakan dalam notis bertarikh 22 Sept 2026, selain gagal memberikan justifikasi kukuh untuk mengekalkan pendaftaran pertubuhan berkenaan.
Notis berkenaan dikeluarkan kepada Perikatan Nasional di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] bagi memberi peluang kepada parti itu mengemukakan penjelasan dan representasi berhubung perkara yang dibangkitkan.
Sehubungan itu, Pendaftar Pertubuhan memutuskan untuk membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional di bawah subperenggan 13(1)(c )(iv) akta yang sama.
JPPM turut mengingatkan semua pertubuhan berdaftar supaya memastikan pematuhan terhadap peruntukan Akta Pertubuhan 1966 serta perlembagaan masing-masing.
Jabatan itu menegaskan bahawa fungsi kawal selia dan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara tegas, adil dan berlandaskan undang-undang bagi memastikan tadbir urus pertubuhan yang teratur, telus dan berintegriti.

Akses Malaysia menyediakan berita terkini di dalam Malaysia dan luar negeri termasuk maklumat tentang usaha-usaha kerajaan, korporat, institusi pengajian, kampus, isu-isu global, ekonomi, tren terkini, dan pelbagai lagi.


































