SEMPORNA, 11 Jun 2026 – Gombak-Hulu Langat (GHL) Geopark mencatat satu lagi pencapaian penting dalam usahanya ke arah pengiktirafan UNESCO Global Geopark menerusi pemeteraian jaringan kerjasama strategik dengan Kinabalu UNESCO Global Geopark.
Sesi pertukaran dokumen kerjasama itu berlangsung di Seafest Regency Hotel sebagai sebahagian daripada program Sesi Libat Urus Kaedah Pengurusan Pemberian Geran Ecological Fiscal Transfer (EFT) yang dianjurkan oleh Perbendaharaan Negeri Selangor bersama Kementerian Kewangan Sabah dan Taman-Taman Sabah.
Program itu turut melibatkan pelbagai agensi berkepentingan termasuk Tourism Selangor, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Selangor, Jabatan Mineral dan Geosains Selangor, pejabat tanah dan daerah serta pihak berkuasa tempatan.
Kerjasama yang dimeterai antara kedua-dua geopark itu bertujuan memperkukuh tadbir urus geopark melalui perkongsian amalan terbaik, pertukaran kepakaran, penyelidikan, pembangunan komuniti dan program pendidikan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Inisiatif tersebut juga dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh persediaan GHL Geopark untuk memperoleh pengiktirafan UNESCO Global Geopark menjelang 2028.
Pembangunan GHL Geopark merupakan antara inisiatif yang terus diperkasakan oleh Kerajaan Negeri Selangor menerusi Geran Ecological Fiscal Transfer (EFT), selaras dengan komitmen negeri dalam memelihara khazanah geologi, biodiversiti dan warisan budaya sambil merancakkan pembangunan pelancongan lestari.
Selain menyokong agenda pemuliharaan alam sekitar, usaha itu turut dijangka menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti setempat melalui sektor pelancongan berasaskan alam semula jadi dan geopelancongan yang semakin mendapat perhatian di peringkat domestik serta antarabangsa.
Majlis pertukaran dokumen tersebut melibatkan Chua Yee Ling, yang juga Pengerusi GHL Geopark, dan Noorannezza Junsin.
Sesi itu turut disaksikan oleh Mohamad Nazrie Paulus dan Sabrina Adnan.
Melalui kerjasama strategik ini, GHL Geopark berharap dapat memperluaskan jaringan di peringkat nasional dan antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi geopark yang berdaya saing serta berpotensi menjadi UNESCO Global Geopark pertama di Selangor.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.















































