NEW YORK, 10 Februari 2026 – Pasaran tawaran awam permulaan (IPO) Amerika Syarikat dijangka bangkit secara agresif pada tahun 2026, dengan unjuran kutipan dana melonjak empat kali ganda mencapai rekod AS$160 bilion.
Menurut nota penyelidikan terbaharu daripada bank pelaburan gergasi, Goldman Sachs, pemulihan ini dipacu oleh penyenaraian syarikat-syarikat teknologi berprofil tinggi yang telah lama dinantikan pelabur.
Ahli strategi Goldman Sachs, Ben Snider menjangkakan sekitar 120 syarikat akan disenaraikan sepanjang tahun ini, satu peningkatan ketara berbanding aktiviti yang agak perlahan pada tahun 2025 yang hanya merekodkan 61 tawaran.
Antara faktor utama lonjakan ini adalah kewujudan saluran paip (pipeline) yang kukuh melibatkan syarikat swasta peringkat akhir, terutamanya dalam sektor teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Laporan itu menyebut nama-nama besar yang berpotensi membuat kemunculan “mega-listing” termasuk syarikat eksplorasi angkasa lepas milik Elon Musk, SpaceX, serta pembangun AI terkemuka, OpenAI dan Anthropic.
“Kejayaan penyenaraian syarikat ‘unicorn’ ini boleh memacu hasil luar biasa. Walaupun AS$160 bilion adalah rekod baharu dari segi nilai mutlak, ia menyamai kira-kira 0.2 peratus daripada permodalan pasaran Russell 3000, menandakan kembali ke paras normal yang tinggi,” jelas laporan tersebut.
Goldman Sachs turut menggariskan julat hasil yang mungkin berlaku, iaitu serendah AS80 bilion jika tiada syarikat gergasi disenaraikan, hingga mencecah AS200 bilion jika sentimen pasaran kekal optimis.
Peningkatan aktiviti IPO ini turut disokong oleh keadaan pasaran ekuiti yang semakin baik, ekonomi yang stabil, dan keyakinan pelabur yang kembali pulih selepas ketidaktentuan pasaran pada tahun-tahun sebelumnya.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.












































