PUTRAJAYA, 21 Oktober 2026 – Harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing menurun sebanyak 30 sen seliter, manakala harga runcit diesel tanpa subsidi turun 10 sen seliter bagi tempoh 22 Oktober hingga 28 Oktober 2026.
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, harga apungan berasaskan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) itu menyaksikan harga RON97 turun kepada RM4.80 seliter berbanding RM5.10 seliter, manakala RON95 tanpa subsidi turun kepada RM4.32 seliter berbanding RM4.62 seliter sebelum ini.
Harga runcit diesel tanpa subsidi pula mencatatkan penurunan kepada RM5.07 seliter berbanding RM5.17 seliter.

Penyusutan harga produk petroleum bertapis di pasaran serantau didorong oleh jangkaan peningkatan bekalan dari China serta pengeluaran berterusan dari negara Asia lain, walaupun harga minyak mentah Brent kekal melebihi AS$100 setong akibat konflik yang timbul kesan daripada serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran.
Kerajaan MADANI bertegas memberikan komitmen untuk terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada ketidaktentuan global menerusi peruntukan RM40 bilion bagi subsidi bahan api tahun hadapan seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 sebelum ini.
Melalui skim BUDI MADANI, penerima BUDI95 terus menikmati harga RM1.99 seliter dengan subsidi Kerajaan sebanyak RM2.33 seliter (54 peratus), manakala penerima BUDI Diesel kekal pada kadar RM2.10 seliter dengan subsidi RM2.97 seliter (59 peratus).
Sementara itu, harga di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) masing-masing dikekalkan pada kadar RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter.
Rakyat Malaysia yang layak boleh terus membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad tertakluk kepada had kelayakan bulanan.
Pada masa yang sama, Kerajaan menyeru pengguna agar mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat demi menjamin bekalan negara.
Akses Malaysia menyediakan berita terkini di dalam Malaysia dan luar negeri termasuk maklumat tentang usaha-usaha kerajaan, korporat, institusi pengajian, kampus, isu-isu global, ekonomi, tren terkini, dan pelbagai lagi.

































