KUALA LUMPUR, 31 Mac 2026 — Lembaga Pelancongan Hong Kong (HKTB) melancarkan kempen “Hong Kong Mega 8” yang menampilkan lapan acara seni, budaya, dan sukan bertaraf dunia sepanjang bulan Mac dan April bagi mengukuhkan kedudukan bandar raya itu sebagai “Ibu Kota Acara Asia”.
Pengerusi HKTB, Dr. Peter Lam berkata, inisiatif itu menghimpunkan pelbagai acara mega dan program tempatan untuk menawarkan pengalaman pelancongan bandar yang menyeluruh di samping memaksimumkan faedah ekonomi kepada industri berkaitan.
Buat julung kalinya, HKTB bekerjasama dengan pameran antarabangsa Art Basel bagi membawa karya seni digital keluar dari ruang galeri konvensional dan dipamerkan secara terbuka di kawasan tumpuan awam.
Antara tarikan utama kempen tersebut termasuk unjuran berskala besar ‘Digital Art @Central’ yang memaparkan karya animasi bertajuk “DeePle the People” hasil sentuhan artis Korea Selatan, DeeKay, yang dipancarkan pada bangunan Hong Kong Club bermula 24 hingga 29 Mac ini.
Selain itu, HKTB turut bekerjasama dengan Art Central untuk melancarkan Panduan Penemuan Bulan Seni Hong Kong secara digital bagi memudahkan pelancong merancang jadual perjalanan dan eksplorasi budaya mereka merentasi pelbagai daerah seni di seluruh bandar raya berkenaan.
Pelbagai inisiatif berteraskan kejiranan turut dianjurkan bagi memberi nilai tambah kepada pengalaman pengunjung, termasuk pengubahsuaian 10 buah rumah bersejarah melalui program ArtHouse Tai Hang 2026 serta inisiatif Art Walk in Central yang membawa pengunjung meneroka karya arca ikonik sekitar bandar raya itu.
Melengkapkan kalendar perayaan seni berkenaan, muzium-muzium utama seperti M+ dan Muzium Istana Hong Kong turut menampilkan pameran eksklusif, manakala festival WestK FunFest menawarkan lebih 120 program kesenian mesra keluarga bermula 19 Mac lalu hingga 12 April hadapan.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.













































