PUTRAJAYA, 29 Oktober 2026 – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah, agensi kerajaan, rakan strategik serta seluruh rakyat Sabah atas sokongan menjayakan Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) Edisi Sabah 2026 dari 23 hingga 25 Oktober lalu.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohd Alamin, menyifatkan komitmen dan kerjasama semua pihak sebagai faktor penting dalam memastikan kelancaran karnival yang membawakan tema “Bikin Lokal Jadi Hebat, Usahawan Onsoiii” itu.
Dalam perkembangan yang sama, karnival berkenaan merekodkan kehadiran lebih 50,000 orang, manakala jualan produk usahawan mencatatkan nilai melebihi RM433,500 dan peluang padanan perniagaan mencecah RM1.129 juta melibatkan 47 usahawan.
Datuk Mohd Alamin berkata kerjasama erat KUSKOP dengan Kerajaan Negeri Sabah menerusi Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) memainkan peranan utama dalam memastikan keberkesanan program tersebut.
“Komitmen dan kerjasama semua pihak merupakan faktor penting dalam memastikan kelancaran penganjuran karnival ini,” katanya.
Karnival yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri MINDET, Datuk Ewon Benedick bagi pihak Ketua Menteri Sabah itu turut mendapat kerjasama TikTok Shop sebagai rakan strategik untuk mempromosikan pendigitalan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Di samping itu, komitmen KUSKOP dalam memperkasa sektor keusahawanan di Sabah turut dizahirkan melalui saluran dana pembiayaan berjumlah RM1 bilion yang memanfaatkan 45,000 usahawan dan koperasi di negeri itu setakat September 2026.
Sehubungan dengan itu, KUSKOP akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi memastikan inisiatif pembangunan keusahawanan memberi manfaat berterusan kepada komuniti usahawan tempatan.
Sebuah ruang peribadi untuk merakam idea, berkongsi pengalaman dan mengabadikan hal-hal yang mencuri perhatian. Dikenali dengan nama pena Aidil Abdullah



































