PETALING JAYA, 23 Januari 2026 – HSBC Malaysia terus memperkukuh komitmennya dalam segmen pengurusan kekayaan negara dengan pelancaran Pusat Premier serba baharu di cawangannya di Petaling Jaya, hari ini.
Fasiliti yang terletak di tingkat bawah bangunan cawangan itu direka khusus untuk meningkatkan pengalaman perbankan bagi pelanggan HSBC Premier, dengan menyediakan ruang peribadi dan bilik keluarga yang selesa serta perkhidmatan yang lebih eksklusif.
Pembukaan pusat tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya, YB Tuan Lee Chean Chung, disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia, Dato’ Omar Siddiq.
Ketua Perkhidmatan Kekayaan Antarabangsa dan Perbankan Premier HSBC Malaysia, Linda Yip berkata, Petaling Jaya adalah lokasi strategik memandangkan kehadiran bank itu di bandar raya tersebut sudah melangkaui setengah abad.
“Pusat ini menumpukan kepada empat tonggak utama iaitu Kekayaan, Kesihatan, Perjalanan dan Antarabangsa.
“Ramai pelanggan Premier kami telah bersama kami selama bertahun-tahun, dengan hubungan merentasi tiga generasi. Melalui pusat ini, kami berhasrat meningkatkan proposisi perancangan legasi untuk membantu mereka melindungi kekayaan dan menjamin masa depan kewangan orang tersayang,” katanya.
Sementara itu, YB Lee Chean Chung dalam ucapannya memuji pelaburan berterusan institusi kewangan antarabangsa seperti HSBC di Petaling Jaya.
“Petaling Jaya adalah unik kerana ia merupakan gabungan ekonomi lama dan baharu. Di sinilah terletaknya perniagaan tradisional yang beroperasi lebih 50 tahun, bersinergi dengan perniagaan moden.
“Pelaburan HSBC ini adalah bukti kemajuan ekonomi Petaling Jaya dan trajektori kekayaan penduduknya yang semakin meningkat,” ujar beliau.
Sempena pembukaan dan sambutan Tahun Baharu Cina, HSBC turut menawarkan kadar promosi menarik. Pelanggan baharu HSBC Premier boleh menikmati kadar sehingga 4.38% setahun untuk Simpanan Tetap/-i selama 6 bulan.
Manakala bagi pelanggan baharu dan sedia ada yang mengambil pakej gabungan pelaburan atau insurans, mereka berpeluang menikmati pulangan sehingga 10.88% setahun untuk tempoh 3 bulan, serta berpeluang menerima peranti Apple.
Pelanggan yang berkunjung ke cawangan untuk semakan portfolio juga akan menerima pek Beras Kemakmuran (Prosperity Rice) sempena musim perayaan ini.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































