KUALA LUMPUR, 22 Jun 2026 — ICT Zone Asia Berhad memperoleh kontrak pesanan pembelian bernilai RM28.1 juta bagi penyewaan perkakasan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada sebuah agensi kerajaan untuk tempoh 36 bulan.
Syarikat itu dalam satu kenyataan memaklumkan kontrak tersebut dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, ICT Zone Ventures Berhad, oleh MRA International Sdn Bhd pada 19 Jun lalu.
Di bawah kontrak berkenaan, ICT Zone akan membekalkan komputer meja, komputer riba, pencetak dan pengimbas untuk ditempatkan di agensi kerajaan terbabit. Tempoh perjanjian akan bermula pada tarikh yang dipersetujui kedua-dua pihak.
Syarikat itu menjelaskan pesanan pembelian tersebut hanya melibatkan penyewaan perkakasan dan tidak merangkumi penyediaan perkhidmatan ICT.
Perolehan kontrak baharu itu meningkatkan nilai tempahan tertunggak ICT Zone kepada RM321.1 juta berbanding RM293 juta yang direkodkan setakat 31 Januari 2026, sekali gus mengukuhkan keterlihatan pendapatan kumpulan untuk tempoh akan datang.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ICT Zone Asia Berhad, Tommy Lim Kok Kwang, berkata kontrak tersebut selaras dengan tumpuan syarikat terhadap model perniagaan berasaskan langganan dan pembiayaan teknologi.
“Organisasi sektor awam dan korporat kini semakin memilih model langganan teknologi berbanding pemilikan aset secara langsung. Peralihan ini terus menyokong permintaan terhadap penyelesaian yang kami tawarkan,” katanya.
Menurut beliau, model fintech yang dilaksanakan oleh ICT Zone membolehkan organisasi mendapatkan akses kepada teknologi perusahaan melalui perbelanjaan operasi (OPEX) tanpa memerlukan peruntukan modal (CAPEX) yang besar.
Beliau berkata syarikat turut mengamalkan pendekatan ekonomi kitaran menerusi pembaharuan dan penyewaan semula aset ICT bagi meningkatkan penggunaan serta nilai aset sepanjang kitaran hayatnya.
Kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan sesaham (EPS) dan aset bersih sesaham (NAPS) kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan kontrak tersebut.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.















































