KUALA LUMPUR, 18 April 2025 – Platform gaya hidup Islam dan kembara, ikhlas.com, hari ini melancarkan Kempen Umrah 1,000 Asnaf bersempena ulang tahun kelima penubuhannya untuk memperkukuh misinya memudahkan umat Islam menunaikan ibadah umrah.
Kempen ini bertujuan menaja 1,000 individu daripada golongan asnaf di seluruh negara untuk menunaikan umrah, dengan pemilihan dibuat menerusi pencalonan awam yang dihantar melalui Instagram @ikhlasdotcom menggunakan tanda pagar #IkhlasUmrah1000Asnaf. Pencalonan mestilah disertakan dengan bukti visual situasi calon, dan calon yang disenarai pendek akan ditemuduga sebelum pemilihan akhir dilakukan.
Kempen ini turut menyaksikan pelancaran simbolik sebuah Mercedes S124 300TE klasik tahun 1987, yang dinamakan Qashwa, untuk menjelajah seluruh Malaysia – termasuk Sabah dan Sarawak – bagi menyampaikan bantuan keperluan asas serta menggerakkan pencarian calon tajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin, berkata misi utama syarikat sejak ditubuhkan pada 18 Mac 2020 adalah untuk menawarkan kemudahan dan perkhidmatan umrah kepada golongan yang kurang diberi perhatian, dengan harga mampu milik serta jaminan perkhidmatan berkualiti.
“Selepas lima tahun, kami ingin meraikan hakikat bahawa ikhlas.com kini merupakan pengendali umrah yang diyakini ramai. Pakej flagship kami bermula serendah RM4,990, merangkumi penginapan, pengangkutan, bimbingan mutawif, ziarah dan keperluan asas jemaah,” katanya.
ikhlas.com, yang dilancarkan semasa pandemik pada Oktober 2020, turut menyediakan pelbagai perkhidmatan gaya hidup Islam termasuk pembayaran zakat, sadaqah, aqiqah, fidyah, dan qurban melalui laman web dan aplikasi mudah alih.
Pengerusi Eksekutif Capital A, Datuk Kamarudin Meranun, menyatakan sokongan terhadap kempen ini yang turut mencerminkan langkah penting Capital A keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17), dengan kelulusan Cadangan Pelan Regularisasi oleh Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).
“Kami berharap lebih ramai rakan kongsi dari sektor korporat, NGO dan agensi kerajaan akan menyertai kempen ini demi manfaat ummah,” katanya.
Menerusi inisiatif ini, ikhlas.com menyasarkan penglibatan komuniti tempatan di seluruh negara untuk mengenal pasti calon yang layak dan memperluas jaringan sokongan sosial dalam kalangan masyarakat Islam.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari ikhlas.com atau memuat turun aplikasi mudah alih ikhlas.com menerusi Apple App Store dan Google Play Store.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.