SEBERANG PERAI, 20 Ogos 2026 – Syarikat penyedia perkhidmatan pelancongan mesra Muslim, Ikhlas Com Travel Sdn. Bhd. (ikhlas.com), menghadiahkan pakej umrah percuma kepada personaliti media sosial, Muhammad Ammar Zulkha Helmy, bagi merealisasikan impian beliau untuk menunaikan ibadah berkenaan di tanah suci.
Muhammad Ammar Zulkha, atau lebih dikenali sebagai Budak 46 menerusi kandungan video gerak perlahan di media sosial, kini menghidap penyakit retinitis pigmentosa yang menyebabkan kemerosotan fungsi penglihatan secara beransur-ansur.
Kejutan berkenaan disampaikan secara terus oleh kru syarikat berkenaan dalam satu kunjungan ke kediaman beliau di Seberang Perai, yang pada awalnya dirancang bagi sesi ulasan barangan bagasi di aplikasi TikTok.
Beliau dijadualkan akan berlepas ke tanah suci pada bulan November 2026 melalui Pakej Umrah Premium Musim Sejuk dengan diiringi bapanya, Helmy Salleh.
Ketua Mutawif dan Penasihat Syariah ikhlas.com, M. Iqbal Hanif Mohamed Rusdi, berkata kunjungan pihak syarikat ke rumah Ammar bertujuan menyampaikan berita gembira berhubung pakej berkenaan.
“Tujuan kami bukan untuk meminta Ammar membuat ulasan mengenai set bagasi kami, sebaliknya kami datang membawa berita gembira. Insha Allah, Ammar telah lama berdoa untuk berpeluang menunaikan umrah dan hari ini, kami berbesar hati menyampaikan berita bahawa Ammar akan menjadi tetamu Allah serta impian dan doanya akan menjadi kenyataan,” kata beliau.
“Ammar juga akan ditemani oleh bapanya, Helmy Salleh, yang turut dijemput oleh ikhlas.com untuk bersama-sama menunaikan ibadah umrah. Ini bagi memastikan Ammar dapat menunaikan umrahnya dengan lebih selesa dan tenang sepanjang perjalanan,” kata beliau lagi.
Sementara itu, Ammar menzahirkan rasa syukur atas peluang untuk menunaikan ibadah umrah dan melihat Kaabah selagi masih mempunyai penglihatan.
“Saya amat bersyukur atas peluang ini untuk merasai nikmat yang dikurniakan Allah. Impian saya selama ini adalah untuk menunaikan umrah dan melihat Kaabah selagi saya masih mempunyai penglihatan. Walaupun suatu hari nanti saya kehilangan penglihatan, saya akan sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang telah Allah kurniakan kepada saya,” kata beliau.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.

































