KUALA LUMPUR, 7 Februari 2025 – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mengecam cadangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk mengambil alih Gaza serta memindahkan rakyat Palestin ke Mesir dan Jordan.
IKIM turut menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam mempertahankan hak rakyat Palestin bersama pemimpin dunia Islam lain.
Menurut IKIM, cadangan tersebut bukan sahaja melanggar hak asasi rakyat Palestin tetapi juga bercanggah dengan undang-undang antarabangsa serta mengancam kestabilan serantau.
IKIM menegaskan bahawa hasrat pengambilalihan Gaza bertentangan dengan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Konvensyen Geneva 1949 yang melarang pemindahan paksa penduduk.
Cadangan ini mencerminkan pendekatan Amerika Syarikat yang memihak kepada Israel, sebagaimana yang dilihat dalam pelan “Deal of the Century” pada 2020 yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan membenarkan penempatan haram di Tebing Barat.
IKIM menyifatkan cadangan ini sebagai satu bentuk pembersihan etnik yang berpotensi menambah jumlah pelarian Palestin, yang kini hampir mencecah tujuh juta orang.
IKIM turut memuji pendirian tegas Jordan dan Mesir yang menolak cadangan ini, memandangkan ia akan menghapuskan peluang rakyat Palestin untuk kembali ke tanah air mereka selain memberi tekanan ekonomi dan sosial kepada negara-negara tersebut.
Merujuk kepada sejarah campur tangan Amerika Syarikat di Iraq, Afghanistan dan Libya, IKIM menegaskan bahawa tindakan sedemikian hanya membawa kemusnahan dan penderitaan kepada rakyat negara terbabit.
Oleh itu, IKIM menggesa masyarakat antarabangsa, termasuk negara-negara Islam dan organisasi hak asasi manusia, untuk menolak sebarang usaha yang mengancam kedaulatan dan hak rakyat Palestin.
IKIM menegaskan bahawa hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib mereka sendiri tidak boleh dikompromi dan menyeru kepada usaha bersepadu untuk memastikan keadilan serta kebebasan bagi rakyat Palestin.
Prof Madya Dato’ Dr. Mohamad Azam Mohamed Adil, Ketua Pengarah IKIM, dalam kenyataannya menegaskan bahawa IKIM akan terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin serta masyarakat dunia yang menentang sebarang bentuk penjajahan dan penindasan.