Pendedahan terbaharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai tangkapan 36 penjawat awam daripada Kumpulan Pengurusan Tertinggi sejak tahun 2021 hingga Januari tahun ini nyata mengejutkan dan menggusarkan hati rakyat.
Nilai rasuah yang dianggarkan mencecah RM22 juta bukan sekadar angka yang besar, tetapi ia memberi gambaran yang amat jelas tentang tahap kelemahan sistem pengurusan amanah di peringkat tertinggi.
Lebih membimbangkan, kes-kes ini melibatkan institusi strategik negara seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF), yang sepatutnya menjadi benteng kepercayaan mutlak rakyat.
Persoalan yang timbul amat mudah untuk ditanya, tetapi cukup berat untuk dijawab. Di manakah silapnya? Adakah ia berpunca daripada sistem pengurusan yang lemah? Kurangnya ketelusan audit dan pemantauan? Atau masalahnya jauh lebih mendasar, tersimpan jauh di dalam diri manusia sendiri, iaitu pada keadaan jiwa yang memandu setiap keputusan dan tindakan?
Kejadian ini membuktikan bahawa walaupun undang-undang telah dilengkapkan dan peraturan diperketatkan, tiada sistem yang mampu menggantikan integriti yang menjadi teras pada nilai dalaman setiap individu.
Kelonggaran peraturan atau kekosongan jiwa?
Hakikatnya, negara kita tidak pernah ketandusan peraturan. Kod etika terus diperhalusi, sistem perolehan sentiasa diperkemas dan didigitalkan, audit dalaman serta luaran diperketatkan, manakala kursus integriti saban tahun dijadikan sebagai agenda wajib.
Dari sudut dokumen dan prosedur, semuanya kelihatan tersusun dan rapi. Namun realitinya, kes salah laku tetap berlaku dan yang lebih menyedihkan, ia melibatkan mereka yang berada di kedudukan tertinggi hirarki. Keadaan ini mengundang satu renungan yang lebih mendalam bahawa barangkali masalah utamanya bukan pada kurangnya peraturan, tetapi pada sesuatu yang lebih asas, iaitu keadaan jiwa manusia itu sendiri.
Kita sering mentakrifkan integriti sebagai keselarasan antara apa yang difikirkan, diperkatakan, dan dilakukan. Takrifan itu tidak salah, namun ia hanya menggambarkan apa yang terlihat di permukaan semata-mata.
Akar kepada integriti sebenarnya tersembunyi di dalam diri, cerminan sebuah jiwa. Dalam Islam, jiwa atau nafsu bukanlah satu unsur yang pasif. Ia sentiasa bergelut antara dorongan kebaikan dan keburukan.
Ujian tersembunyi di sebalik amanah
Menerusi Surah as-Syams ayat 7 hingga 10, Allah SWT menjelaskan bahawa jiwa diilhamkan dengan jalan kefasikan dan ketakwaan, dan beruntunglah mereka yang sentiasa berusaha menyucikannya.
Ayat suci ini memberi isyarat bahawa manusia tidak gagal kerana kurang pintar atau kurang peluang, tetapi kerana gagal mengawal dan membersihkan jiwanya. Para ulama menghuraikan bahawa ada jiwa yang cenderung kepada kejahatan (nafs ammarah) dan ada jiwa yang tenang serta tunduk kepada kebenaran (nafs mutmainnah).
Perbezaannya bukan pada jawatan atau latar belakang akademik, tetapi pada asuhan didikan dalaman. Seseorang yang melihat kuasa sebagai peluang keemasan untuk mengaut keuntungan peribadi sedang dipandu oleh jiwa yang longgar kawalannya.
Sebaliknya, mereka yang melihat jawatan sebagai amanah akan lebih berhati-hati dalam setiap keputusan, walaupun tiada sesiapa yang memerhati perbuatan mereka.
Di sinilah integriti sebenar diuji. Peraturan hanya berfungsi apabila wujudnya penguatkuasaan. Kamera litar tertutup dan laporan audit pula hanya berkesan apabila wujudnya bukti yang kukuh.
Tetapi jiwa yang sedar akan bertindak dengan betul walaupun tiada saksi yang memandang. Hakikatnya, rasuah berskala besar jarang sekali bermula dengan jumlah imbuhan yang menakjubkan.
Ia biasanya bermula dengan kelonggaran-kelonggaran kecil yang dianggap sebagai kebiasaan; seperti makan minum yang ditaja, hadiah sebagai tanda persahabatan, atau layanan istimewa yang kononnya sekadar adat. Apabila hati mula membenarkan perlanggaran yang kecil, perlanggaran yang lebih besar hanya menunggu masa untuk berlaku.
Jiwa yang terpelihara akan melahirkan rasa takut kepada Tuhan, rasa malu untuk mengkhianati amanah awam, dan rasa tanggungjawab yang mendalam terhadap setiap keputusan yang dibuat. Tanpa tiga benteng kejiwaan ini, integriti amat mudah goyah walaupun dikelilingi oleh pelbagai peraturan dan pemantauan yang ketat.
Dari KPI kepada nilai, menyuburkan jiwa organisasi
Jika kita menerima hakikat bahawa puncanya terletak pada jiwa, maka usaha pembaikan juga perlu bermula dari titik tersebut.
Selama ini, penilaian prestasi dalam kebanyakan organisasi lebih banyak tertumpu pada angka pencapaian, seperti sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang dicapai atau projek yang berjaya disiapkan mengikut jadual.
Semua elemen fizikal itu penting, namun pembangunan nilai dalaman jarang diukur atau diberi perhatian yang serius. Pembangunan rohani sering dianggap sebagai urusan peribadi, sedangkan hakikatnya ia memberi kesan langsung kepada cara seseorang pentadbir menguruskan amanah awam.
Sudah tiba masanya budaya organisasi tidak hanya bercakap tentang KPI fizikal semata-mata, tetapi juga tentang pengukuhan nilai rohani.
Bagi penjawat awam yang beragama Islam, usaha mendekatkan diri dengan bacaan al-Quran boleh menjadi antara mekanisme pembinaan jiwa yang paling ampuh.
Sasaran pembacaan dan penghayatan kalam Tuhan sebagai sebahagian daripada pembangunan diri bukanlah bertujuan untuk menghukum atau memaksa, tetapi untuk menyuburkan hubungan dengan sumber nilai yang sentiasa menegaskan erti keadilan dan amanah.
Begitu juga dengan penghayatan ibadah solat. Solat yang difahami maknanya dengan tuntas akan menanam rasa kehambaan dan kesedaran bahawa setiap tindak-tanduk di dunia akan dipersoalkan kelak. Apabila hubungan dengan Tuhan diperkukuh, setiap keputusan duniawi yang dibuat juga cenderung menjadi lebih berhati-hati dan telus.
Walau bagaimanapun, semua cadangan murni ini tidak akan bermakna tanpa kepimpinan yang menunjukkan contoh teladan yang baik.
Integriti tidak boleh sekadar didelegasikan di atas kertas; ia perlu dipamerkan melalui perbuatan.
Jika pucuk pimpinan tertinggi menunjukkan ketelusan dan ketegasan terhadap sebarang bentuk salah laku, mesejnya akan turun dengan sangat jelas hingga ke peringkat yang paling bawah. Sebaliknya, jika barisan di atas longgar cengkamannya, amat sukar untuk mengharapkan mereka yang di bawah untuk kekal teguh berprinsip.
Pada akhirnya, kita perlu jujur mengakui bahawa undang-undang dan akta hanyalah sekadar pagar. Pagar amat penting untuk menghalang pencerobohan, tetapi ia sama sekali tidak mampu membentuk hati manusia.
Integriti yang tulen hanya lahir daripada jiwa yang sedar akan tanggungjawabnya; bukan sekadar takut kepada hukuman duniawi, tetapi amat takut jika mengkhianati amanah yang digalas.
Selagi pembangunan jiwa tidak dijadikan agenda utama dalam reformasi integriti negara, selagi itulah kita akan terus berhadapan dengan episod duka yang sama. Hal ini kerana, yang merosakkan sistem bukanlah ketiadaan peraturan, tetapi manusia yang gagal mengawal dorongan dirinya sendiri.
Kesimpulannya, integriti sama sekali tidak akan terbina dengan lambakan dokumen semata-mata, ia hanya akan terbina kukuh apabila jiwa dididik untuk sentiasa memilih jalan yang benar, walaupun ketika tiada sesiapa yang melihat.
Nur Farihah Mohd Fadullah Sahimi bertugas sebagai Penolong Pendaftar Kanan dan Pegawai Integriti di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Beliau boleh dihubungi melalui e-mel: farihah@upsi.edu.my









































