KUALA LUMPUR, 11 Mac 2026 — Pertubuhan kemanusiaan antarabangsa, Islamic Relief Worldwide menggesa semua pihak yang terlibat dalam ketegangan ketenteraan di Timur Tengah agar segera mencari penyelesaian diplomatik bagi mengelakkan konflik yang semakin memuncak pada bulan Ramadan ini.
Badan kebajikan dan kemanusiaan Islam bebas terbesar di dunia itu meluahkan kebimbangan terhadap ancaman keselamatan orang awam yang sentiasa menjadi mangsa paling terjejas dalam setiap krisis bersenjata.
Islamic Relief dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau rapi perkembangan situasi di seluruh rantau berkenaan, termasuk di negara-negara yang menerima bantuan menyelamatkan nyawa seperti Yaman, Lubnan, Iraq, Turkiye, Jordan, Syria dan Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT).
“Kami amat bimbang sekiranya ketidakstabilan serantau yang lebih meluas boleh menjejaskan dan menyebabkan jutaan orang awam di seluruh Teluk serta kawasan sekitarnya kehilangan tempat tinggal.
“Ketegangan yang semakin meningkat ini berisiko memutuskan akses komuniti yang bergantung kepada bantuan seperti makanan, tempat perlindungan, air bersih, dan penjagaan kesihatan,” jelas kenyataan tersebut.
Pertubuhan itu turut menegaskan bahawa umat Islam di Timur Tengah berhak menyambut bulan Ramadan yang mulia ini dalam keadaan aman dan tanpa sebarang rasa takut, apatah lagi penderitaan mereka telah berlanjutan sejak sekian lama.
Sehubungan itu, Islamic Relief menyeru semua pihak supaya mematuhi kewajipan di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa bagi melindungi nyawa orang awam dan memastikan kelancaran serta keselamatan petugas organisasi kemanusiaan yang beroperasi di lapangan.
Sambil memberi amaran bahawa konflik ketenteraan yang berterusan berpotensi mencetuskan perpindahan besar-besaran dan gelombang pelarian baharu, Islamic Relief menyatakan komitmen serta kesediaannya untuk memperluas penyaluran bantuan sekiranya terdapat keperluan mendesak kelak.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































