BANGI, 1 September 2026 – Pertubuhan kemanusiaan Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) hari ini melancarkan Rayuan Kecemasan Nepal bagi mengumpul dana bantuan untuk mangsa banjir kilat dahsyat yang melanda daerah Rasuwa, Nuwakot dan kawasan sekitarnya di Nepal sejak 26 Ogos lalu.
Bencana yang berlaku di sepanjang Sungai Trishuli dan Bhotekoshi itu telah mengorbankan lebih 900 nyawa serta menyebabkan lebih 4,200 mangsa masih dilaporkan hilang, manakala dianggarkan 93,000 penduduk memerlukan bantuan kemanusiaan mendadak merangkumi makanan, air bersih, sanitasi dan tempat perlindungan.

Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Siti Fadilah Mohd Hood, berkata banjir kilat yang memusnahkan penempatan dan infrastruktur seperti jalan raya, jambatan serta kemudahan hidroelektrik itu mendedahkan ribuan keluarga kepada situasi ketidaktentuan dan trauma.
“Dalam sekelip mata, kehidupan mereka berubah dan berdepan situasi yang tidak tentu serta trauma. Mereka kini sangat memerlukan bantuan makanan, air bersih, tempat tinggal dan barangan keperluan lain selain sokongan emosi. Melihat kepada skala kemusnahan, Islamic Relief Malaysia melancarkan Rayuan Kecemasan Nepal bagi membolehkan rakyat Malaysia bersama-sama menghulurkan bantuan,” kata beliau.
Pasukan Islamic Relief Nepal kini bekerjasama rapat dengan Pihak Berkuasa Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal (NDRRMA) serta jawatankuasa tempatan bagi menggerakkan 1,000 kit perlindungan kecemasan yang mengandungi kanvas kalis air, selimut, tilam getah dan lampu solar kepada komuniti terjejas.
Orang ramai yang ingin menyokong usaha kemanusiaan ini boleh menyalurkan sumbangan menerusi laman web rasmi IR Malaysia di www.islamic-relief.org.my atau menghubungi talian 03-8926 3434 untuk maklumat lanjut.

Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.


































