PUTRAJAYA, 23 September 2026 – Pusat Pelancongan Islam (ITC) mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam sektor pelancongan mesra Muslim menerusi penganugerahan dan jalinan kerjasama strategik bersama tiga entiti antarabangsa dan tempatan dari Korea Selatan, Brazil dan Malaysia.
Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) berkenaan dimeterai bersempena majlis GHaS Night: Celebrating Visit Muslim-Friendly Malaysia Dinner 2026 bersekali dengan penganjuran Global Halal Summit (GHaS) 2026 di Le Méridien Putrajaya.
Kerjasama antarabangsa membabitkan dua Badan Pensijilan Halal diiktiraf JAKIM iaitu Korea Muslim Federation (KMF) dan FAMBRAS Halal Certificação Ltda (FAMBRAS Halal) dari Brazil bagi menyokong pelaksanaan program Pengiktirafan dan Jaminan Pelancongan dan Keramahan Mesra-Muslim (MFAR) di peringkat global.
Di peringkat domestik, ITC bekerjasama dengan Maybank Islamic Berhad bagi memperkasakan usahawan pelancongan tempatan menerusi akses pembiayaan Syariah, fasiliti halal, pembangunan kapasiti dan peluang pasaran baharu.
Ketua Pengarah ITC, Mohammad Faisal Abu Suaib Khan, berkata peluasan jenama MFAR ke antarabangsa bukan sekadar pengiktirafan, sebaliknya perkongsian kepakaran dan sistem yang dibentuk Malaysia untuk diterima sebagai piawaian pelancongan mesra Muslim global.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad, Mohamad Yasin Abdullah, memaklumkan kerjasama ini memberi peluang kepada bank berkenaan menawarkan pembiayaan patuh Syariah dan takaful bagi menyokong ekosistem pelancongan halal negara.
Majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran platform gozaya.com.my serta dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, dan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.


































