SERDANG, 1 September 2026 – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) melancarkan Pelan Projek Penambahbaikan Perikanan (FIP) Aya Hitam Tok Bali, Kelantan yang menyasarkan perikanan spesies berkenaan mencapai pensijilan Marine Stewardship Council (MSC) dalam tempoh lima tahun (2025–2029).
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Dato’ Luqman Ahmad, sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di MAEPS, Serdang hari ini.
Pelan FIP yang dibangunkan dengan kerjasama World Wide Fund for Nature (WWF-Malaysia) itu merangkumi tujuh teras utama termasuk pemantauan stok ikan, penguatkuasaan, pemuliharaan habitat sensitif, penyelidikan spesies terancam dan kebolehkesanan rantai bekalan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPKM, Dato’ Luqman Ahmad, berkata pelan berkenaan memberi tumpuan kepada pengurusan perikanan berasaskan pendekatan saintifik dan ekosistem demi melihara status sumber marin.
“Pelan ini diharap dapat menghasilkan suatu sistem pengurusan perikanan yang lebih progresif, sekaligus menyumbang kepada peningkatan keyakinan pasaran terhadap hasil perikanan tempatan serta memperkukuh daya saing industri perikanan negara tanpa menjejaskan status sumber dan ekosistem marin,” kata beliau.
Ikan aya hitam merupakan spesies tuna neritik utama di Pantai Timur, di mana pendaratan pada tahun 2025 di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur mencatatkan 29,388.50 tan metrik iaitu 30 peratus daripada jumlah keseluruhan pendaratan tuna negara sebanyak 97,240.06 tan metrik.
Sempena majlis sama, Kha Yang Marine Sdn. Bhd. menerima sijil MSC bagi perikanan rawai tuna Albakor di Lautan Hindi melibatkan 12 vesel Zon C3, sekali gus menjadi pengusaha vesel penangkapan ikan tuna Malaysia pertama yang berjaya mencapai pensijilan antarabangsa berkenaan.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.


































