KUALA LUMPUR, 6 September 2026 – Jabatan Alam Sekitar (JAS) mempertingkatkan pemantauan dan tindakan di lapangan selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) susulan kemerosotan kualiti udara yang menyaksikan dua kawasan di Sarawak mencatatkan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap Sangat Tidak Sihat hari ini.
Berdasarkan bacaan jam 10.00 pagi, Kuching dan Sri Aman masing-masing merekodkan bacaan IPU 223 dan 215, manakala 35 kawasan lain di seluruh negara—termasuk Lembah Klang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Labuan dan sebahagian besar Sarawak—mencatatkan tahap Tidak Sihat.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAS, Hajah Azuri Azizah binti Haji Saedon, memaklumkan bahawa situasi jerebu berpunca daripada keadaan cuaca kering yang berterusan di Rantau Selatan ASEAN, disokong oleh penemuan 184 titik panas di Kalimantan dan 373 titik panas di Sumatera menerusi laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC).
Fenomena jerebu rentas sempadan ini turut diburukkan lagi dengan kejadian kebakaran belukar dan tanah gambut tempatan di Jalan Sibujaya Barat, Mukah serta Sungai Nai, Daro di Sarawak, yang kini sedang dikawal oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama pemantauan dron oleh JAS.
Di bawah ketetapan PTJK, penutupan sekolah, tadika dan taska akan dikuatkuasakan sekiranya bacaan IPU melebihi 200, manakala Operasi Pembenihan Awan (OPA) dan pengaktifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana oleh NADMA akan dilaksanakan sekiranya IPU melebihi 150 bagi tempoh 24 jam.
JAS turut menegaskan amaran keras terhadap aktiviti pembakaran terbuka. Di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, pesalah boleh dikenakan denda minimum RM25,000 sehingga RM1,000,000 atau penjara sehingga lima tahun. Orang ramai diminta melaporkan sebarang kejadian pembakaran terbuka menerusi talian bebas tol JAS 1-800-88-2727 atau 999.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.



































