Teks/Gambar: Aisyah Razali
Saya bukanlah gadis yang gemar aktiviti luar, apatah lagi yang melibatkan laut dan bau hanyir ikan. Pada mulanya, mencandat sotong kelihatan seperti aktiviti untuk mereka yang lebih berumur, atau mereka yang sanggup berjaga malam dan berdepan dengan laut bergelora serta nyamuk. Namun, pengalaman yang singkat kali ini telah mengubah segalanya.
Apa itu mencandat sotong?
Mencandat sotong sebenarnya lebih daripada sekadar memancing di laut; ia adalah tradisi yang sudah lama diamalkan oleh nelayan tempatan, terutamanya di pantai timur Semenanjung Malaysia seperti di Terengganu dan Kelantan. Aktiviti ini biasanya dilakukan antara bulan Mac hingga Julai, apabila sotong mula menghampiri perairan cetek untuk bertelur.Tekniknya mudah tetapi memerlukan kesabaran—tali atau joran yang diikat dengan candat, sejenis mata kail khas berbentuk seperti udang atau sotong kecil, dijatuhkan ke dalam laut sambil bot berhenti dan lampu dinyalakan untuk menarik perhatian sotong dari dasar laut.

Walaupun kedengaran mencabar, sesiapa sahaja boleh mencuba; daripada pemancing berpengalaman hinggalah pelancong yang baru pertama kali naik bot. Malah, aktiviti ini semakin popular dalam kalangan pelancong domestik dan luar negara, yang tertarik dengan pengalaman laut terbuka sambil menikmati suasana malam yang damai. Banyak pakej pelancongan kini menawarkan ‘trip mencandat’ sebagai salah satu tarikan pelancongan marin, menjadikannya bukan sekadar aktiviti menangkap sotong, tetapi juga satu cara untuk mendekati budaya tempatan.
Pengalaman pertama seorang gadis bandar
Pertama kali diajak mencandat sotong, saya bersikap skeptikal. Namun, semua anggapan itu mula berubah sebaik sahaja bot mula membelah permukaan air laut menuju ke destinasi.
Kami berlepas dari Jeti Merang sekitar jam 5 petang. Perjalanan mengambil masa lebih kurang satu jam setengah. Sepanjang perjalanan, bot melintasi Pulau Kapas, dan pemandangan air laut yang jernih kebiruan serta langit membiru benar-benar memukau.
Ketika tiba di kawasan laut dalam, warna air berubah kepada biru pekat; menandakan kami hampir tiba di kawasan perairan yang dikatakan sesuai untuk menjalankan aktiviti ini.

Tepat jam 7 malam, kami sampai ke lokasi mencandat. Matahari mula terbenam, menghasilkan pantulan cahaya jingga keemasan di permukaan laut yang tenang; satu pemandangan yang sehingga kini sukar untuk dilupakan.
Sotong pertama, senyum pertama
Apabila aktiviti mencandat bermula, setiap orang diberikan seutas tali panjang dengan pemberat dan mata candat. Saya pada mulanya tertanya-tanya kerana joran yang digunakan tidak seperti yang saya bayangkan. Setelah dijelaskan, baru saya tahu rupanya inilah cara tradisional yang digunakan.
Melihat rakan-rakan lain mudah sahaja menaikkan sotong, saya cuba menggunakan joran pula. Hasil dari tunjuk ajar nelayan yang mengemudi bot kami, saya mula mendapatkan rentaknya. Malam itu, saya berjaya menaikkan 12 ekor sotong; satu pencapaian manis buat seorang yang baru mencuba aktiviti ini. Rakan-rakan mula mengusik saya sebagai “ratu sotong”.
Dengan angin lembut Laut China Selatan yang sepoi-sepoi bahasa, suasana malam di tengah-tengah laut pada masa itu memberi ketenangan yang sukar untuk saya gambarkan. Hanya bunyi ombak dan suara perlahan sesama kami yang mencandat. Remang-remang lampu bot menarik perhatian sotong dari dasar laut. Dalam senyap, saya menunggu tarikan halus pada joran dan akhirnya, sotong pertama saya muncul. Kecil, tetapi cukup bermakna.
Dari laut ke pinggan
Semua sotong yang telah dicandat terus dimasak di atas bot. Bayangkan sotong bakar yang segar, terus dari laut, dimakan dengan cicah sos cili, menjadi hidangan paling sedap ketika itu, jauh lebih enak daripada mana-mana restoran mewah. Makan bersama rakan-rakan di atas bot yang beroleng-oleng perlahan di tengah laut, di bawah langit malam yang berbintang, menjadikan pengalaman ini begitu istimewa.

Malam semakin larut, angin laut bertiup lembut. Kami berbual dan bergurau di atas bot, jauh dari hiruk-pikuk kota. Tiada bunyi hon kereta, tiada bunyi telefon — hanya ketenangan.
Pulang dengan cinta baharu
Kami berjaya mencandat beberapa ekor lagi sotong hinggalah sampai masa untuk kembali ke darat. Walaupun kepenatan, tetapi wajah masing-masing kelihatan puas. Dalam perjalanan balik, saya bersandar pada tepi bot, mata memandang langit malam. Hati terasa ringan, senyum pun tak hilang dari wajah.

Kini, saya faham kenapa ramai jatuh cinta dengan hobi ini. Ia bukan lagi aktiviti ‘orang tua’ bagi saya, tetapi pengalaman luar biasa yang mampu membuat hati sesiapa pun terpaut. Siapa sangka, dari seorang gadis yang tidak minat alam semula jadi, saya kini tidak sabar menanti musim mencandat seterusnya.
Nurul Aisyah Razali merupakan seorang penulis dari Fakulti Komunikasi dan Media di Universiti Teknologi Mara (UITM) Shah Alam.













































