KUALA LUMPUR, 25 Nov 2025 — JBL hari ini secara rasminya memperkenalkan JBL Grip di pasaran tempatan, sebuah pembesar suara Bluetooth ultra-mudah alih yang menawarkan ketahanan lasak bertaraf IP68 dengan harga jualan RM 599.
Peranti baharu ini direka khusus untuk pengguna gaya hidup aktif dengan menggabungkan kualiti audio JBL Pro Sound dan binaan fizikal yang teguh. Ia menampilkan output 16W yang berkuasa serta dilengkapi teknologi AI Sound Boost, yang berfungsi menganalisis audio dalam masa nyata untuk mengoptimumkan pemacu pembesar suara bagi menghasilkan bass yang lebih mendalam tanpa herotan.
Dari aspek reka bentuk, JBL Grip memfokuskan kepada mobiliti dengan cangkuk tali bersepadu yang memudahkan ia dipasang pada beg galas, basikal, atau kayak. Reka bentuk tegaknya turut diserikan dengan lampu ambien pada panel belakang yang boleh diselaraskan warna dan keamatannya melalui aplikasi JBL Portable.
Ketahanan peranti ini menjadi tarikan utama dengan penarafan IP68 yang menjadikannya kalis air, kalis debu, dan tahan hentakan. Ini membolehkan pengguna membawa peranti ke persekitaran ekstrem tanpa bimbang tentang kerosakan, selain sokongan Auracast™ yang membolehkan sambungan pelbagai unit pembesar suara secara serentak.
Pengurus Besar dan Naib Presiden Audio Pengguna Harman Asia Pasifik, Grace Koh menyifatkan model ini sebagai peneman muzik yang ideal kerana ketahanannya yang luar biasa.
“JBL Grip baharu ini adalah ‘co-pilot’ muzik anda. Ia dibina umpama kereta kebal yang kalis air, kalis debu dan tahan jatuh, malah mampu bertahan walaupun jatuh di atas konkrit.
“Kami juga memuatkan JBL Pro Sound yang berkuasa ke dalam saiz yang selesa dipegang. Lampu ambien terbina dalam menetapkan suasana yang sempurna, siang atau malam. Hanya capai dan nikmati kerana ia adalah salah satu pembesar suara kecil paling tahan lasak yang membawa keseronokan dan kualiti bunyi yang anda perlukan,” kata Koh.
Bagi prestasi tenaga, JBL Grip menawarkan tempoh main sehingga 12 jam dengan tambahan dua jam lagi melalui mod Playtime Boost yang mengoptimumkan prestasi audio untuk bunyi yang lebih lantang.
Orang ramai kini boleh mendapatkan JBL Grip di semua pengedar sah, laman web rasmi, serta platform e-dagang Lazada dan Shopee. Ia ditawarkan dalam enam pilihan warna iaitu hitam, putih, ungu, merah, biru, dan ‘squad’.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































