JAKARTA — Pengalaman hospitaliti bertaraf dunia dan keindahan muzik serantau bersatu apabila platform The CIRCLE by Marriott Bonvoy menganjurkan konsert sulungnya, “Jejak Nada”, yang menghimpunkan barisan artis popular dari Malaysia dan Indonesia di Astor Ballroom, The St. Regis Jakarta pada 3 Julai lalu.
Akses Malaysia berpeluang hadir di The St. Regis Jakarta untuk menyaksikan sendiri pelancaran platform eksklusif ini. Bertempat di Astor Ballroom yang elegan, malam itu memperlihatkan bagaimana muzik, budaya dan hospitaliti bergabung menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Seawal ketibaan, tetamu disambut dengan layanan mesra, ruang yang dihias indah dan suasana eksklusif yang memberi petunjuk bahawa malam tersebut bakal menjadi sesuatu yang istimewa. Susunan tempat duduk bertingkat memastikan setiap tetamu menikmati pemandangan pentas yang jelas, dengan pencahayaan, sistem bunyi dan reka bentuk pentas yang melengkapkan pengalaman bertaraf dunia.
Di bawah pimpinan maestro Indonesia Andi Rianto bersama Magenta Orchestra, lagu-lagu yang telah lama menjadi siulan ramai diberikan nafas baharu menerusi susunan muzik yang cukup mewah, namun tetap memberikan ruang kepada setiap penyanyi untuk menyerlah. Setiap persembahan terasa sinematik, penuh emosi dan berjaya membawa penonton mengimbau kenangan masing-masing.

Kemunculan Ratu Jazz Negara, Sheila Majid menerima sorakan gemuruh daripada penonton Jakarta. Aura, keanggunan dan vokalnya yang masih memukau menjadi bukti beliau kekal sebagai salah satu ikon muzik paling disegani di Asia Tenggara.
Detik yang paling menyentuh hati ialah apabila Sheila bergandingan dengan Nadhif Basalamah menerusi lagu “Begitulah Cinta”. Lagu yang pernah dipopularkan bersama Harvey Malaiholo itu diberi sentuhan baharu oleh Andi Rianto, menjadikan persembahan tersebut lebih emosional dan bermakna.
Sheila kemudian membawa penonton mengimbau nostalgia menerusi “Dia”, “Aku Cinta Padamu”, “Antara Anyer dan Jakarta” dan “Cinta Jangan Kau Pergi” sebelum menutup persembahannya dengan “Sinaran”. Seluruh Astor Ballroom berdiri dan menyanyi bersama, mencipta salah satu detik paling indah sepanjang malam.
Malaysia turut berbangga dengan penampilan bintang muda, Didie Shazry, yang tampil penuh yakin menerusi “Mulanya di Sini”, “Yang Berlalu Tak Berulang” dan “Tak Berhenti”. Berkongsi pentas bersama nama-nama besar Indonesia bukan tugas mudah, namun Didie membuktikan beliau memiliki keyakinan, vokal dan karisma yang mampu membawa namanya lebih jauh di pentas serantau.
Kemunculan Kris Dayanti pula menghangatkan suasana dengan vokalnya yang mantap serta aura diva yang tidak pernah luntur. Sebelum konsert bermula, beliau sempat menyapa Akses Malaysia ketika bertemu di hotel. Ketika membuat persembahan, beliau mengenali kami di barisan hadapan lalu secara spontan menjemput Azrini Reezan untuk menyanyi bersama menerusi lagu “Menghitung Hari”. Detik yang tidak dirancang itu menerima sorakan gemuruh penonton dan memperlihatkan sisi mesra Kris Dayanti yang sentiasa menghargai peminatnya. Turut dipersembahkan dalam segmen beliau ialah “Mahadaya Cinta”, “I Love You”, “Mencintaimu”, serta sebuah duet penuh penghayatan menerusi lagu “Cinta” bersama Anggi Marito.

Tulus sekali lagi membuktikan mengapa beliau antara penyanyi paling disayangi di Indonesia. Persembahan “Monokrom”, “Jangan Cintai Aku Apa Adanya”, “Sepatu”, “Teman Hidup” dan “Hati Hati di Jalan” disampaikan dengan penuh penghayatan, cukup sederhana namun sangat berkesan.
Nadhif Basalamah turut menyerlah menerusi “Bergema Sampai Selamanya” dan “Kota Ini Tak Sama Tanpamu”, manakala Anggi Marito memukau hadirin dengan “Cahaya”, “Butet”, “Tak Segampang Itu ” dan “Selamanya Ku Bernafas”. Vokalnya yang mantap dan penuh emosi membuktikan beliau antara bakat muda Indonesia yang wajar diberikan perhatian.
Jika ada satu detik yang benar-benar menyatukan seluruh dewan, semestinya ketika lagu “Bahasa Kalbu” dimainkan. Dengan iringan Magenta Orchestra, seluruh Astor Ballroom bertukar menjadi sebuah koir gergasi apabila semua tetamu menyanyikan lagu itu bersama sama. Tiada lagi sempadan antara artis dan penonton. Semua menjadi sebahagian daripada persembahan. Detik itu menjadi kemuncak emosi malam Jejak Nada. Lagu hit ini pada asalnya dipopularkan oleh penyanyi legenda Indonesia, Titi DJ bersama Dorie Kalmas sekitar tahun 1999, sebelum diberi nafas baharu oleh Andi Rianto dan Raisa pada tahun 2020.
Konsert ini turut menghimpunkan peminat muzik dari Indonesia, Singapura, Malaysia dan Brunei. Akses Malaysia berpeluang bertemu ramai peminat yang sanggup terbang ke Jakarta semata-mata untuk menyaksikan persembahan ini. Rata-rata menyifatkan Jejak Nada sebagai salah satu konsert terbaik yang pernah mereka hadiri.

Herol Amy dari Brunei menyifatkan peluang untuk dijemput menyanyi bersama Kris Dayanti sebagai pengalaman yang tidak akan dilupakan sepanjang hayat. Baginya, sesi nyanyian beramai-ramai menerusi “Bahasa Kalbu” menjadi detik paling istimewa kerana seluruh dewan seolah-olah berkongsi satu emosi yang sama.
Turut hadir ialah penyampai berita Astro Awani, Dzulfitri Yusof, yang datang khusus untuk menyaksikan persembahan Tulus. Beliau memuji keseluruhan konsert, khususnya dari aspek mutu produksi, susunan orkestra, sistem bunyi serta kualiti persembahan yang disifatkannya bertaraf antarabangsa.
Karen Teh, yang sering menghadiri konsert di Malaysia dan luar negara, turut memberikan pujian tinggi kepada Jejak Nada. Menurut beliau, persembahan Sheila Majid dan Didie Shazry merupakan antara yang paling dinantikan dan benar benar memukau. Beliau juga memuji keserasian semula jadi antara semua penyanyi dengan maestro Andi Rianto sepanjang konsert. Bagi Karen, interaksi mesra antara para penyanyi dan Andi Rianto menjadikan keseluruhan persembahan terasa lebih intim, lebih hidup dan cukup istimewa.
Wakil Planet Sheila Majid, Affendi Mohd Yob dan Jaslina Yahaya, yang hadir dari Kuala Lumpur, turut berkongsi pengalaman mereka. Menurut mereka, daripada layanan sepanjang penginapan di The St. Regis Jakarta, pengalaman eksklusif sebagai pemegang tiket VIP 1 hinggalah mutu persembahan yang diberikan, semuanya berada pada tahap terbaik. Mereka menyifatkan Jejak Nada sebagai salah satu pengalaman muzik paling bermakna yang pernah dinikmati di Jakarta.

Inilah yang membezakan Jejak Nada daripada sebuah konsert biasa. Marriott Bonvoy tidak sekadar menganjurkan persembahan muzik, tetapi berjaya menghasilkan satu pengalaman yang lengkap. Makan malam sebelum konsert, layanan bertaraf lima bintang, suasana ballroom yang elegan, sistem bunyi yang mengagumkan, pencahayaan yang memukau serta setiap sentuhan kecil sepanjang malam menjadikan tetamu rasa benar-benar dihargai.
Melalui The CIRCLE by Marriott Bonvoy, muzik menjadi jambatan yang menghubungkan manusia, budaya dan destinasi. Ia membuktikan bahawa pengalaman pelancongan hari ini bukan lagi sekadar tentang tempat yang dikunjungi, tetapi tentang kenangan yang dibawa pulang.
Tatkala lagu “Sinaran” bergema buat kali terakhir dan seluruh Astor Ballroom berdiri memberikan tepukan gemuruh, satu perkara menjadi jelas. Jejak Nada bukan sekadar sebuah konsert. Ia ialah sebuah pengalaman yang menyentuh hati, menghubungkan dua negara dan mengingatkan kita bahawa muzik sentiasa mempunyai kuasa untuk menyatukan manusia.
Jika ini merupakan permulaan kepada The CIRCLE by Marriott Bonvoy, masa depannya pasti cukup cerah. Akses Malaysia pasti tidak sabar untuk kembali pada edisi seterusnya.
Pada akhirnya, muzik sentiasa menjadi bahasa yang difahami oleh semua. Tidak kira di mana kita berada, muzik akan sentiasa menyatukan kita.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.















































