Kumpulan muzik rock terkenal, Jinbara, nampaknya masih belum lelah dengan perjuangan mereka di dunia muzik.
Minggu lepas Jinbara kembali lagi dengan single terbaharu bertajuk “Kurniaku Terindah” yang diterbitkan di bawah label Luncai Emas Sdn Bhd.
Kolaborasi ini merupakan projek rakaman istimewa yang bertujuan menempatkan Jinbara kembali ke dalam industri muzik rock tempatan.
Dato’ M. Nasir yang menghasilkan single “Kurniaku Terindah” ini berkata perjuangan dan perjalanan rock Jinbara masih belum tamat lagi.
Sebagai kumpulan rock yang telah mencipta lagu-lagu popular seperti “Kasihnya Laila,” “Farhana,” “Cinta Pandai Merdeka,” dan “Patri,” Jinbara merasakan bahawa “Kurniaku Terindah” merupakan pencapaian baru yang membanggakan.
“Ini merupakan satu penghormatan yang besar buat kami dan kami rasa bersyukur kerana masih diberi kepercayaan untuk membawakan lagu hasil ciptaan Dato’ M. Nasir. Single baharu ini memberikan satu erti apabila kita masih lagi bernafas hingga hari ini, diberi kesihatan yang baik, maka itulah kurnia terindah dari Maha Esa,” kata wakil dari kumpulan Jinbara.
Proses rakaman single ini telah berjalan lancar sebelum mendapat berita duka pemergian Allahyarham Tony Iskandar pada 30 Jun 2021 (bekas pemain bass kumpulan Spider). Kumpulan Jinbara menyifatkan Allahyarham sebagai pencetus utama dalam projek “Kurniaku Terindah” ini.
Sehubungan dengan itu, peranan pengeluar lagu telah diambil alih oleh Hanafi Spider.
Jinbara juga akan mengadakan Showcase “Rock Untuk Rakyat” pada 30 Ogos 2023 jam 9 malam di Grand Sabak @ Leypark Station untuk terus mendekatkan diri dengan peminat. Tiket boleh didapati dengan menghubungi 019-933 4021.
Video lirik “Kurniaku Terindah” telah dilancarkan pada 18 Ogos 2023 melalui saluran YouTube Luncai Emas. Lagu ini juga boleh dinikmati melalui pelbagai platform digital seperti Spotify, Apple Music, Deezer, dan boleh dimuat turun melalui iTunes.