KUALA LUMPUR, 23 Jun 2023 — Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sedang menyiasat laporan berkaitan penyalahgunaan kad Pengenalan Penduduk Tetap (MyPR) yang hilang oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
Siasatan ini timbul berikutan beberapa siri artikel dalam akhbar Utusan mengulas isu kehadiran dua individu yang menggunakan MyPR dengan nama Basni Sabrah.
JPN di dalam satu maklum balas media menjelaskan bahawa semakan terhadap pangkalan data mendapati Basni Sabrah yang masih hidup adalah pemilik MyPR yang sah.
Kemungkinan terdapat kekeliruan dalam kes ini disebabkan oleh kad MyPR Basni yang pernah dilaporkan hilang sebelum ini, kemudian ditemui dan disalah gunakan oleh pihak lain.
Walau bagaimanapun, individu yang disyaki menggunakan kad MyPR yang hilang itu dilaporkan telah meninggal dunia.
JPN akan menjalankan risikan dan siasatan bagi mengenal pasti kemungkinan-kemungkinan yang berkaitan dengan kes ini.
MyPR merupakan salah satu jenis kad pengenalan yang dikeluarkan oleh JPN kepada Pemastautin Tetap yang bukan warganegara. Kad ini diberikan kepada individu yang memenuhi syarat-syarat tertentu berdasarkan permit masuk yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). Kad MyPR yang berwarna merah ini mengandungi maklumat peribadi lengkap pemiliknya termasuk nombor permit dan negara asal.
Proses pengeluaran kad MyPR melalui beberapa peringkat penapisan oleh agensi-agensi seperti PDRM, JIM, dan JPN. Setiap permohonan yang diluluskan perlu melalui proses pengesahan biometrik dan tapisan ketat. Tanggungjawab menjaga keselamatan kad MyPR ini terletak pada pemiliknya. Peraturan 6, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (PPN) juga menguatkuasakan kewajipan setiap pemilik untuk menjaga kad pengenalan mereka sendiri.
Jika terdapat kehilangan kad, pemilik perlu segera melaporkannya kepada JPN. Kad MyPR yang dilaporkan hilang akan dibatalkan dalam sistem JPN. Oleh itu, kad yang hilang tersebut tidak lagi sah digunakan untuk sebarang urusan.
Namun, terdapat segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab yang menemui kad tersebut dan menggunakan identiti pemilik sebenar. Modus operandi ini dapat dikesan melalui pengesahan biometrik, di mana akan terbukti bahawa pemegang kad bukanlah pemilik sebenar.
Menggunakan kad pengenalan orang lain merupakan kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara (PPN) 1990. Individu yang terbabit boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya sekali.
JPN turut mengingatkan pemegang kad MyPR bahawa Kerajaan tidak akan ragu-ragu untuk menggunakan segala peruntukan undang-undang yang ada untuk menghukum mereka yang bekerjasama dengan pihak yang tidak bertanggungjawab.
Penggunaan MyPR yang hilang boleh disalahgunakan dan membahayakan keselamatan negara. JPN juga menggesa orang awam yang mempunyai maklumat mengenai perkara ini agar melaporkannya kepada pihak JPN.
— Akses Malaysia