SELAYANG, 22 Januari 2026 – Peminat makanan dan hasil pertanian Pantai Timur di sekitar Lembah Klang kini berpeluang mendapatkan produk asli Terengganu dengan harga lebih murah menerusi Program Jualan Agro MADANI Edisi Terengganu.
Program yang berlangsung hari ini di Pekarangan Ibu Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bermula jam 7.30 pagi hingga 3.00 petang itu menawarkan penjimatan harga sehingga 30 peratus berbanding harga pasaran.
Dirasmikan oleh Pengerusi FAMA, Tuan Haji Aminuddin Zulkipli, edisi kali ini menampilkan kelainan dengan membawa masuk produk ikonik negeri Penyu seperti Melon Manis Terengganu, Duku Terengganu, keropok keping ikan tamban, sata, dan ketupat palas.
Menurut kenyataan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), program ini bukan sahaja bertujuan meringankan kos sara hidup rakyat, malah membuka pasaran terus untuk usahawan tempatan tanpa orang tengah.
“Pengunjung turut berpeluang mendapatkan Kombo MADANI dan menyaksikan demonstrasi masakan tradisional Terengganu.
“Program ini dijangka menarik kehadiran kira-kira 2,000 pengunjung yang ingin mendapatkan bekalan segar seperti sayur, buah, ikan, ayam dan daging pada kadar yang menjimatkan,” menurut kenyataan itu.
Secara keseluruhannya, inisiatif Jualan Agro MADANI terbukti berimpak tinggi. Sepanjang tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2025, sebanyak 4,331 program telah dilaksanakan di seluruh negara dengan nilai jualan mencecah RM69.63 juta.
Pelaksanaan program ini telah berjaya memberikan penjimatan langsung kepada pengguna dianggarkan berjumlah RM17.20 juta, serta memberi manfaat kepada lebih 49,000 usahawan tani.

Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.















































