
KUALA LUMPUR, 3 Mac 2025 – Jenama biskut terkenal, Julie’s, sekali lagi tampil dengan filem pendek bertemakan Hari Raya yang mengajak penonton merenung makna sebenar keampunan dan penebusan diri. Filem berjudul Selamat Lari Raya ini menampilkan kisah menyentuh perasaan mengenai konflik dalaman dan perjalanan emosi seorang lelaki dalam menerima kemaafan.
Mengisahkan tentang Johan, lakonan pelakon popular Fimie Don, yang sepanjang hidupnya sering melarikan diri daripada masa silamnya yang kelam. Kehilangan ibu bapa sejak kecil menyebabkan dia dibesarkan oleh datuk dan neneknya, namun terjebak dengan kumpulan yang salah hingga terjerumus ke dunia jenayah dan akhirnya dipenjarakan. Beban utama yang menghantui Johan bukanlah hukuman penjara, tetapi rasa bersalah yang mendalam akibat kematian neneknya, Melati, lakonan Dian P. Ramlee, yang sering muncul dalam bayangannya.
Datuknya, Pak Hassan, yang dilakonkan oleh pelakon veteran Dato’ A. Tamimi Siregar, berusaha untuk berhubung semula dengan Johan, namun usahanya sering ditolak. Tidak mahu berputus asa, Pak Hassan mengambil langkah luar jangka dengan melakukan kesalahan kecil bagi membolehkan dirinya dimasukkan ke penjara yang sama. Dalam pertemuan yang tidak dijangka itu, Johan tidak lagi mempunyai tempat untuk melarikan diri dan akhirnya terpaksa berdepan dengan masa silam serta perasaan bersalah yang selama ini dipendam.
Menurut Pengarah Julie’s Biscuits, Tzy Horng Sai, filem pendek ini berbeza daripada penceritaan Hari Raya sebelum ini, dengan menampilkan perjalanan emosi yang mendalam mengenai kekeluargaan dan keampunan. “Raya adalah masa untuk pembaharuan, penyembuhan dan peluang kedua. Kami ingin menyampaikan mesej tentang pentingnya mengatasi penghalang psikologi dalam proses penyembuhan seseorang,” katanya.
Ketua Pegawai Kreatif GOVT, Aaron Koh, yang telah bekerjasama dalam semua filem pendek Hari Raya Julie’s sebelum ini, turut menyatakan bahawa Selamat Lari Raya menggabungkan pelbagai elemen emosi, termasuk ketegangan, humor, ketakutan dan kesedihan. “Kami ingin membawa penonton melalui rollercoaster emosi yang mendalam, dengan mesej utama bahawa kemaafan diri adalah kunci kebahagiaan dan pembaharuan dalam hidup,” ujarnya.
Filem pendek Selamat Lari Raya kini boleh ditonton di saluran rasmi YouTube Julie’s. Bersempena dengan persiapan Hari Raya, Julie’s turut menawarkan biskut Love Letters dalam tiga perisa klasik – Coklat, Strawberi dan Vanila – yang boleh didapati di kedai runcit berdekatan serta di platform e-dagang rasmi Julie’s.
Untuk maklumat lanjut mengenai promosi dan aktiviti terkini, ikuti Julie’s di Facebook dan Instagram atau layari laman web rasmi mereka.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.