KUALA LUMPUR, 7 Sep 2022 — Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan menubuhkan serta mempengerusikan secara bersama Jawatankuasa Ekonomi Perkongsian (SEC).
Menurut K-KOMM, SEC ditubuhkan untuk menasihatkan kerajaan dalam langkah intervensi dan atau dasar untuk menyokong pertumbuhan model perniagaan Ekonomi Perkongsian selain melindungi kepentingan pekerja gig serta pengguna platform gig.
“Justeru, SEC akan mengetuai semakan Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Nasional berkenaan Ekonomi Perkongsian dengan mengkoordinasi serta menyelaraskan inisiatif berkaitan Ekonomi Perkongsian baharu dan semasa antara kementerian serta agensi yang relevan,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
Penubuhan SEC selaku jawatankuasa koordinasi berpusat itu diumumkan selepas mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tan Sri Annuar Musa berkata, kementeriannya mengiktiraf ekonomi perkongsian sebagai satu bentuk model peluang pekerjaan dan sumber pendapatan baharu yang berpotensi kepada rakyat.
Menurut beliau, antara sasaran yang disyorkan kepada SEC termasuklah mencapai pendapatan kumulatif pasaran sebanyak RM2.7 bilion, meningkatkan platform tempatan kepada 206 dan mengiktiraf 50 platform tempatan berdasarkan standard antarabangsa, seterusnya melatih serta mengesahkan 250,000 pekerja gig dalam sektor utama seperti perkhidmatan, logistik dan peruncitan selain membangunkan 100,000 pekerja bebas digital untuk merebut peluang pekerjaan gig bernilai tinggi.
Beliau berkata pada penghujung 2021, terdapat 137 platform Ekonomi Perkongsian yang beroperasi di Malaysia berbanding hanya lima platform pada 2015.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Mahadhir Aziz berkata SEC akan dipandu oleh empat teras iaitu dasar dan peraturan, platform yang dipercayai, insentif dan piawaian serta data dan metrik.
Menurut Mahadhir, Ekonomi Perkongsian merupakan sebahagian daripada komponen penting ekosistem digital yang telah dikenal pasti di bawah inisiatif Malaysia Digital dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi digital negara secara mampan.
“Oleh itu, dasar yang tangkas dan sentiasa ditambah baik adalah diperlukan bagi memanfaatkan model Ekonomi Perkongsian. Pensijilan dan pengesahan oleh kerajaan untuk platform berkenaan akan membantu meningkatkan penggunaan pasaran sambil mengukuhkan keyakinan pengguna,” tambah beliau.
— Akses Malaysia
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.













































