BANGSAR SOUTH, 10 Ogos (Bernama) — Bagi mewujudkan lebih ramai bakal usahawan francais khususnya golongan usahawan muda, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) bekerjasama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai, Kampung Kerinchi, Bangsar South melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan mewujudkan Kelab Usahawan Francais (KUF) dalam kalangan pelajar tingkatan 4 dan 5.
Menurut Encik Mazlan bin Ibrahim, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, KUF ditubuhkan bagi memberi pendedahan awal dan meningkatkan kefahaman pelajar-pelajar mengenai konsep perniagaan khususnya bidang francais selain dari menyemai minat, membentuk nilai dan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar seterusnya menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan selepas tamat belajar.
Ahli-ahli KUF ini akan diberi pendedahan mengenai keusahawanan khususnya dalam bidang francais yang merangkumi maklumat-maklumat mengenai konsep perniagaan francais serta kelebihan konsep perniagaan francais berbanding konsep perniagaan yang lain. Selari dengan penubuhan KUF ini, satu (1) sudut informasi telah diwujudkan di pusat sumber sekolah tersebut bagi memberi pendedahan awal mengenai industri francais.
Encik Mazlan turut menyatakan bahawa , aktiviti yang dilaksanakan oleh KUF ini melibatkan tiga (3) fasa iaitu :
- Fasa pengenalan – Pendedahan mengenai sistem keusahawanan francais secara umum meliputi seminar keusahawanan francais, pendedahan kepada Program Business In Transformation (BIT) dan peluang kerjaya bersama Focus Point di mana telah dilaksanakan pada hari ini;
- Fasa eksplorasi – Lawatan ke Menara Pernas untuk mengetahui mengenai sistem peroperasian dan perkongsian ilmu bersama jenama francais dan prafrancais dalam bidang F&B iaitu GJC dan 1901; dan
- Fasa penutup – Fasa yang memfokuskan pelajar-pelajar lepasan SPM seramai 200 orang dengan pendedahan mengenai peluang kerjaya dengan jenama francais seperti Focus Point dan KOMUGI.
Untuk program yang dilaksanakan pada hari ini, Pernas turut membawa dua (2) jenama besar francais iaitu Focus Point dan Marrybrown sebagai rakan strategik. Focus Point menawarkan perkhidmatan pemeriksaan mata secara percuma kepada 200 pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 40 ahli KUF. Focus Point dan Pernas turut menaja sebanyak 100 cermin mata percuma kepada pelajar-pelajar yang memerlukan cermin mata.
Manakala, Marrybrown menyumbang makan tengah hari kepada para pelajar di mana inisiatif kedua-dua jenama ini merupakan salah satu inisiatif CSR syarikat kepada masyarakat.
Turut hadir dalam program pada hari ini adalah Puan Hasni Hassan, Penolong Kanan Pentadbiran, SMK Seri Pantai dan Encik Chee Kok Hua, Ketua Jualan Runcit & Operasi, Focus Point.