TAWAU, 16 Ogos 2026 – Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, memulakan siri program Jelajah Belanjawan 2027 menerusi lawatan kerja dua hari ke Tawau dan Semporna, Sabah, bermula semalam bagi memberi tumpuan kepada potensi pembangunan sektor ekonomi biru di Pantai Timur negeri berkenaan.
Sesi libat urus yang diadakan bersama Kerajaan Negeri Sabah, agensi berkaitan dan pemain industri itu bertujuan mengenal pasti cabaran serta peluang untuk meningkatkan nilai tambah sektor perikanan, akuakultur, pemprosesan hiliran dan logistik rantaian sejuk selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata Sabah mempunyai kelebihan semula jadi yang besar dalam sektor marin dan akuakultur untuk diterjemahkan kepada aktiviti ekonomi bernilai tinggi.
“Sabah mempunyai kelebihan semula jadi yang besar dalam sektor marin dan akuakultur yang berpotensi untuk diterjemahkan kepada aktiviti ekonomi bernilai lebih tinggi melalui peningkatan produktiviti, pemprosesan hiliran, pengukuhan rantaian bekalan serta akses pasaran,” kata beliau.
“Belanjawan 2027 akan meneliti langkah yang dapat membantu industri tempatan berkembang, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan komuniti setempat,” kata beliau lagi.
Selain mengadakan perbincangan industri, beliau turut meninjau pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di Pulau Bum Bum dan Tawau bagi memastikan penyampaian bantuan kerajaan sampai kepada penerima yang layak secara berkesan.
Jadual lawatan kerja berkenaan turut merangkumi tinjauan kesiapsiagaan kawalan keselamatan perairan di aset maritim Tentera Laut Diraja Malaysia, KA Tun Azizan, serta pemeriksaan terhadap perancangan projek peluasan Lapangan Terbang Tawau bagi menyokong ketersambungan sektor pelancongan dan perniagaan tempatan.
Penyediaan Belanjawan 2027 akan merangkumi 25 sesi libat urus kementerian, 14 Jelajah Belanjawan Negeri dan 20 Perbincangan Kumpulan Fokus dengan mengguna pakai pendekatan Belanjawan Berasaskan Keberhasilan (Outcome-Based Budgeting).
Berhubung pelaksanaan belanjawan berasaskan keberhasilan, beliau menegaskan keutamaan kerajaan dalam memastikan setiap perbelanjaan memberi impak langsung kepada rakyat.
“Pendekatan ini menyasarkan supaya setiap ringgit yang dibelanjakan dapat menyelesaikan masalah rakyat, membuka peluang ekonomi, dan menghasilkan impak yang nyata. Langkah ini amat penting bagi memastikan peruntukan Kerajaan diurus secara cekap, diukur prestasinya secara telus, dan membuahkan hasil yang disasarkan kepada rakyat,” kata beliau lagi.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.


































