PUTRAJAYA, 11 September 2026 — Semakan keputusan bagi Program Ijazah Dalam Negara (PIDN) dan Program Khas Perubatan, Pergigian dan Farmasi Ijazah Pertama (PPF) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi tahun 2026 mula dibuka kepada calon bermula 5 petang ini.
JPA dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, calon yang telah mengemukakan permohonan boleh membuat semakan secara dalam talian menerusi Portal Penajaan JPA di pautan https://penajaan.jpa.gov.my .
“Semakan keputusan ini dibuka sehingga 25 September 2026 (Jumaat), tepat pada pukul 5.00 petang,” menurut kenyataan itu.
Bagi tahun 2026, kerajaan memperuntukkan sebanyak 12,300 penajaan di bawah kedua-dua program berkenaan, membabitkan 12,000 penajaan menerusi PIDN dan 300 penajaan di bawah PPF.
Menurut JPA, penajaan PIDN disasarkan kepada pelajar yang mengikuti pengajian ijazah pertama di Universiti Awam (UA), Politeknik Premier dan Universiti Berkaitan Kerajaan (GLU).
Bidang yang ditawarkan di bawah PIDN merangkumi Sains dan Veterinar; Kejuruteraan dan Teknikal/Teknologi/Seni Bina; serta Sains Sosial dan Sains Sosial MADANI.
Sementara itu, penajaan bagi program PPF pula memfokuskan kepada bidang Perubatan, Pergigian dan Farmasi.
“Ia bertujuan menyokong pembangunan bakat profesional dalam bidang kritikal, khususnya bagi memenuhi keperluan sektor kesihatan negara pada masa hadapan,” jelas kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, JPA memaklumkan bahawa pelajar yang berjaya akan menerima kemudahan penajaan menerusi model Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Akademik (PBU Akademik) yang telah diperkenalkan pada Jun 2025.
Pelaksanaan model tajaan berkenaan memberi pengiktirafan berdasarkan pencapaian akademik pelajar, di samping bertindak sebagai galakan kepada mereka untuk mengekalkan prestasi terbaik sepanjang tempoh pengajian.
“JPA mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya dan berharap peluang penajaan ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk mencapai kecemerlangan akademik, memperkukuh kompetensi serta seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara,” tambah kenyataan itu.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.

































