KUALA LUMPUR, 19 Julai 2022 — Kerajaan akan memantau perkembangan industri minyak sawit selepas Indonesia mengumumkan untuk membatalkan levi eksport untuk semua produk minyak sawit sehingga 31 Ogos ini.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata perkembangan itu akan memberi kesan kepada Malaysia yang merupakan antara pengeluar terbesar produk minyak sawit.
“Kita akan melihat perkara ini secara serius kerana ia memang memberi kesan kepada eksport (minyak sawit negara),” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Isella Sofa Design Sdn Bhd di sini, hari ini.
Keputusan Indonesia, yang juga merupakan pengeksport minyak sawit terbesar dunia, untuk membatalkan levi eksport untuk produk minyak sawit adalah dalam usaha baharu untuk meningkatkan eksport dan mengurangkan inventori yang tinggi.
Pengeluar minyak sawit Indonesia telah bergelut dengan inventori yang tinggi sejak negara itu mengenakan larangan eksport selama tiga minggu sehingga 23 Mei bagi mengurangkan harga minyak masak domestik. — BERNAMA