PUTRAJAYA, 3 November 2026 – Kerajaan hari ini meluluskan peruntukan melebihi RM250 juta untuk memperkukuh pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kelantan bagi meningkatkan ketersambungan pengangkutan serta kesejahteraan rakyat.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan peruntukan berkenaan merangkumi RM30 juta bagi pembinaan terminal bas baharu di Stesen ECRL Kota Bharu, manakala selebihnya iaitu lebih RM200 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja awal seperti dalam cadangan pemanjangan jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Rantau Panjang.
Fasa awal pemanjangan jajaran berkenaan meliputi kerja-kerja reka bentuk awal, ukur dan penyiasatan tanah, Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA), penyediaan Skim Kereta Api serta kerja-kerja penyediaan tapak bagi membolehkan projek dilaksanakan pada fasa seterusnya.
MOF berkata pelaburan infrastruktur pengangkutan ini bakal membuka laluan kepada masa depan ekonomi Kelantan yang lebih berdaya saing merangkumi perancakan aktiviti perniagaan, pengukuhan sektor logistik, penarikan pelaburan baharu serta penyediaan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
“Kerajaan MADANI percaya bahawa pembangunan negara mesti bersifat terangkum dan seimbang. Kemajuan tidak seharusnya tertumpu di bandar-bandar utama semata-mata, sebaliknya perlu dirasai oleh rakyat di seluruh negara, termasuk di Kelantan,” kata kenyataan itu lagi.
Inisiatif ini dilihat sebagai satu komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan pembangunan infrastruktur negara dilaksanakan secara saksama di peringkat negeri demi merapatkan jurang pertumbuhan ekonomi antara wilayah.
Sebuah ruang peribadi untuk merakam idea, berkongsi pengalaman dan mengabadikan hal-hal yang mencuri perhatian. Dikenali dengan nama pena Aidil Abdullah



































