KUALA LUMPUR, 7 Okt 2022 – Kerajaan menyediakan 70 juta ringgit bagi terus menambah baik tahap kelestarian industri sawit, termasuk menggalakkan kitaran semula bahan sisa sawit, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menurut beliau, kerajaan juga akan mempergiat usaha mempromosi dan Kempen Menangani Antiminyak Sawit di peringkat global.
“Program Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) telah berjaya meliputi 98 peratus kawasan penanaman sawit,” katanya semasa membentangkan Bajet 2023 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’ di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengenai levi pekerja asing pelbagai peringkat (multi-tiered levy), Tengku Zafrul berkata ianya disasarkan untuk dilaksanakan menjelang 2023.
“Melalui pendekatan tersebut, syarikat dengan bilangan pekerja asing tinggi seperti sektor perladangan dan pembinaan akan dikenakan kadar levi lebih tinggi.
Kerajaan bercadang menyalur semula hasil levi tambahan untuk menyokong majikan membiayai inisiatif automasi,” kata belau.
Dengan itu, tambah beliau, dasar ini memberi insentif dan membantu majikan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
— Akses Malaysia