KUALA LUMPUR, 5 November 2026 – Kerajaan hari ini mengumumkan diskaun tol sebanyak 50 peratus daripada kadar biasa selama dua hari sempena sambutan perayaan Deepavali 2026 bagi meringankan kos perjalanan rakyat yang pulang ke kampung halaman.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, memaklumkan bahawa pelaksanaan diskaun tol berkenaan bermula jam 12:00 tengah malam, 6 November 2026 (Jumaat) sehingga jam 11:59 malam, 7 November 2026 (Sabtu).
Pemberian diskaun tol itu dianggarkan melibatkan bayaran pampasan sebanyak RM20.11 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat, dengan kos berkenaan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan tertakluk kepada pengesahan data trafik.
Inisiatif berkenaan terpakai kepada kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol serta Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang, namun tidak melibatkan plaza tol sempadan negara, iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang (TTK) di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Alexander Nanta Linggi berkata keputusan berkenaan mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memelihara kebajikan rakyat tanpa mengira kaum serta memperkukuh semangat perpaduan nasional.
Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan, Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan menyelaras pelaksanaan diskaun bersama syarikat konsesi lebuh raya bagi memastikan kelancaran pergerakan trafik sepanjang tempoh perayaan.
Justeru, pengguna jalan raya disarankan merancang perjalanan lebih awal, memastikan baki kad Touch ’n Go atau eWallet mencukupi, serta mengamalkan pemanduan berhemah demi keselamatan sepanjang musim perayaan.
Sebuah ruang peribadi untuk merakam idea, berkongsi pengalaman dan mengabadikan hal-hal yang mencuri perhatian. Dikenali dengan nama pena Aidil Abdullah



































