KUALA LUMPUR, 23 Februari 2026 – Menjelang bulan Ramadan yang bakal tiba, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai agar mengekalkan tahap kesihatan kendiri yang tinggi, khususnya bagi mengelakkan penularan penyakit Tuberkulosis (Tibi).
Peringatan ini dikeluarkan susulan trend jangkitan Tibi yang merekodkan penambahan 596 kes baharu pada Minggu Epidemiologi ke-6 (ME-6/2026), menjadikan jumlah kumulatif kes seluruh negara kini mencecah 3,161 kes.
Sabah mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 755 kes (23.88%), diikuti Selangor dengan 596 kes (18.85%) dan Sarawak merekodkan 332 kes (10.50%).
Menurut kenyataan KKM, walaupun bulan Ramadan bukanlah punca penularan penyakit tersebut, namun peningkatan aktiviti sosial seperti kunjungan ke bazar Ramadan dan penganjuran majlis berbuka puasa boleh meningkatkan interaksi dan risiko pendedahan.
“Penyakit Tibi ialah penyakit berjangkit bawaan udara yang merebak apabila pesakit Tibi paru-paru aktif batuk, bercakap atau bersin.
“Risiko penularan boleh meningkat sekiranya seseorang terdedah dalam tempoh yang panjang di ruang tertutup, sesak dan kurang pengudaraan, khususnya jika terdapat individu dengan Tibi aktif yang belum menjalani rawatan,” jelas KKM di dalam siaran media yang dikongsi bersama kami.
Namun begitu, KKM menegaskan bahawa penyakit ini tidak merebak dengan cepat seperti influenza atau jangkitan COVID-19, sebaliknya memerlukan pendedahan yang lebih lama serta berulang.
Bagi memastikan Ramadan tahun ini disambut dalam keadaan selamat dan sihat, KKM menyarankan orang ramai mengambil langkah pencegahan berikut:
- Pakai pelitup muka: Terutama jika anda bergejala atau berada di kawasan sesak seperti bazar.
- Amal etika batuk/bersin: Tutup mulut dan hidung dengan betul.
- Jaga pengudaraan: Pastikan ruang tertutup untuk majlis berbuka puasa mempunyai pengudaraan yang baik.
- Segera buat pemeriksaan: Dapatkan rawatan jika mengalami batuk berpanjangan melebihi dua minggu atau gejala lain yang mencurigakan.
KKM menegaskan bahawa pendekatan kesedaran komuniti adalah kunci utama untuk pengesanan awal dan rawatan yang berkesan bagi membendung penularan penyakit ini.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.











































