Ketika umat Islam sedang menyambut bulan Ramadan al-Mubarak, dunia dikejutkan dengan ketegangan yang sangat serius apabila konflik Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel meningkat kepada serangan langsung antara negara. Keadaan ini bukan lagi sekadar peperangan melalui proksi atau tekanan diplomatik semata-mata, bahkan telah berkembang menjadi konfrontasi terbuka yang menggegarkan rantau Timur Tengah serta menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan dunia.
Laporan semasa menunjukkan bahawa serangan udara Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran telah mencetuskan tindak balas ketenteraan Iran ke atas Israel dan beberapa sasaran lain di rantau tersebut. Situasi ini terus menggugat laluan perdagangan antarabangsa sama ada melalui darat mahupun laut. Perkembangan ini menjadi lebih besar dan meruncing kesannya apabila Pemimpin Agung Iran, Ali Khamenei, dilaporkan terbunuh dalam siri serangan tersebut.
Kematian beliau bukan sekadar kehilangan seorang tokoh politik utama bagi negara Iran, bahkan ia membuka ruang kepada ketidaktentuan baharu dalam struktur kuasa negara itu, sekali gus menambah kemungkinan berlakunya tindak balas yang lebih keras daripada pihak Iran sendiri. Dalam konteks geopolitik, peristiwa seumpama ini hampir pasti membawa implikasi yang amat besar kepada kestabilan serantau, keselamatan awam, ekonomi dunia, dan sentimen umat Islam di pelbagai tempat.
Dari sudut pandang Islam, pendirian asas yang mesti dipegang dengan teguh ialah penolakan terhadap kezaliman dan keganasan. Islam sama sekali tidak mengajar umatnya untuk merestui pencerobohan, pembunuhan orang awam, mahupun penghancuran sesebuah negara sehingga melampaui batas kemanusiaan.
Pada masa yang sama, Islam juga tidak membenarkan seseorang Muslim menilai sesuatu konflik hanya berdasarkan sentimen politik, kebencian mazhab, atau rasa marah yang tidak dipimpin oleh ilmu pengetahuan yang sahih.
Prinsip utama yang perlu menjadi asas dalam menilai krisis ini ialah keadilan. Jika berlaku sebarang pencerobohan, maka perbuatan tersebut wajib dikecam. Jika berlaku keganasan terhadap orang awam, maka hal itu juga wajib ditentang. Jika ada penindasan oleh kuasa besar terhadap negara lain, ia mesti ditimbang dengan neraca moral dan syarak, bukannya dinilai semata-mata dengan ukuran kepentingan geopolitik pihak tertentu.
Di sinilah letaknya kepentingan untuk kita bersikap jernih ketika menilai kedudukan Iran. Umum mengetahui bahawa Iran dipimpin dalam kerangka fahaman Syiah, sedangkan Malaysia secara rasminya berpegang kepada manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Pihak berautoriti agama di Malaysia telah lama menegaskan bahawa umat Islam di negara ini hendaklah berpegang dengan ajaran Islam berasaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah, syariah, dan akhlak, manakala penyebaran ajaran selain daripadanya adalah dilarang. Maka dari sudut pegangan agama dan dasar negara, kita tidak wajar mengaburkan perbezaan antara Sunni dan Syiah seolah-olah ia hanyalah satu perkara yang kecil.
Namun begitu, perbezaan mazhab tidak boleh sama sekali dijadikan alasan untuk membenarkan kezaliman ke atas mana-mana pihak. Ini adalah satu titik penting yang mesti difahami dengan matang oleh seluruh umat Islam.
Menolak ajaran Syiah sebagai pegangan yang tidak selaras dengan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia tidak bererti kita menghalalkan pengeboman, pembunuhan, atau penghancuran ke atas negara tersebut. Islam tidak pernah mengajar kita supaya menutup mata terhadap keganasan hanya kerana mangsa atau pihak yang diserang itu datang daripada kelompok mazhab yang berbeza.
Prinsip moral Islam berkedudukan lebih tinggi daripada sentimen sektarian. Kita boleh bersikap tegas dalam urusan akidah, tetapi pada masa yang sama, kita wajib berlaku adil dalam menilai kezaliman dan penderitaan sesama manusia. Dalam perbahasan di ruang awam hari ini, terdapat satu lagi kecenderungan yang perlu ditegur, iaitu sikap terlalu cepat mengaitkan peperangan semasa dengan hadis-hadis akhir zaman secara pasti.
Setiap kali berlakunya konflik besar di Timur Tengah, akan muncul suara-suara yang terus mendakwa bahawa inilah peperangan besar yang disebut di dalam hadis, inilah permulaan bagi tanda kiamat tertentu, atau inilah petunjuk yang hampir muktamad kepada kemunculan tokoh-tokoh akhir zaman. Cara berfikir seperti ini sebenarnya tidak menepati disiplin ilmu hadis dan ia berpotensi menimbulkan kecelaruan yang membahayakan dalam kalangan masyarakat awam.
Dalam metodologi ilmu hadis, seseorang tidak boleh memadankan peristiwa semasa dengan hadis tertentu secara yakin dan muktamad hanya berdasarkan persamaan yang bersifat umum. Sesuatu riwayat itu perlu dinilai terlebih dahulu dari sudut kesahihan rantaian sanad dan kefahaman matannya.
Selepas itu, semua riwayat yang berkaitan mesti dihimpunkan, syarah para ulama muktabar perlu dirujuk, dan konteks pemakaian maknanya perlu diteliti dengan cermat. Selagi parameter ini tidak dipenuhi, maka pendirian yang paling selamat ialah berhenti daripada membuat sebarang dakwaan yang pasti.
Hadis yang berkaitan dengan fitnah akhir zaman dan huru-hara tidak sepatutnya dibaca sebagai bahan untuk meneka peta politik masa depan. Ia bukanlah sebuah teks ramalan yang diturunkan untuk memuaskan rasa ingin tahu manusia terhadap apa yang akan berlaku pada minggu hadapan atau tahun hadapan.
Fungsi utama hadis sebegini adalah sebagai peringatan daripada Nabi SAW agar umat Islam sentiasa bersedia dari sudut kekuatan iman, ilmu, dan akhlak apabila berdepan dengan zaman yang penuh kekeliruan. Apabila dunia menjadi kacau-bilau, tujuan hadis bukanlah untuk menjadikan kita sebagai tukang teka, tetapi supaya kita menjadi hamba Allah yang lebih berwaspada, lebih tenang, dan lebih dekat kepada petunjuk wahyu.
Oleh sebab itu, apabila kita melihat konflik antara Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel ini, persoalan yang lebih penting bukanlah teks hadis mana yang boleh dipadankan secara segera. Persoalan yang jauh lebih besar ialah apakah tanggungjawab kita sebagai umat Islam ketika dunia sedang bergolak sebegini.
Jawapannya merangkumi tuntutan menjaga lidah daripada menyebarkan khabar yang belum pasti, menolak berita sensasi yang tidak bersumber, mengelakkan budaya fitnah serta caci maki, dan memelihara perpaduan umat daripada dihancurkan oleh hasutan emosi dan propaganda musuh.
Dalam suasana tegang sebegini, individu yang paling bermanfaat bukanlah mereka yang paling lantang membuat ramalan, tetapi mereka yang paling jujur memandu masyarakat kembali kepada ilmu dan kebijaksanaan.
Bagi umat Islam di Malaysia, terdapat beberapa sikap yang sangat perlu dipelihara. Pertama, kita tidak seharusnya cemas secara berlebihan sehingga setiap perkembangan di luar negara terus dilihat dengan panik dan ketakutan yang melampau.
Kedua, kita tidak boleh terperangkap dalam logik mudah yang menganggap bahawa sesiapa sahaja yang menentang Amerika Syarikat dan Israel semestinya berada di pihak yang benar dalam semua perkara, dan juga sebaliknya. Penilaian Islam sentiasa berasaskan nilai keadilan universal, bukannya pemujaan susuk politik.
Ketiga, jangan pula kerana kita menolak ajaran Syiah, lantas kita menjadi longgar terhadap kezaliman yang dilakukan ke atas Iran atau rakyatnya. Kebenaran tidak boleh dibina di atas sikap memilih-milih dalam mengecam keganasan.
Keempat, masyarakat awam hendaklah sentiasa merujuk kepada para ilmuwan dan autoriti agama dalam memahami teks hadis, khususnya yang berkaitan dengan fitnah, peperangan, dan akhir zaman. Umat amat memerlukan panduan daripada mereka yang benar-benar memahami manhaj ulama, bukan sekadar mendengar bicara mereka yang pandai membina naratif demi menarik perhatian massa.
Akhir kalam, konflik terbaharu ini mengajar kita bahawa dunia Islam pada hari ini sangat memerlukan ketenangan yang dipimpin oleh suluhan ilmu. Kita mesti tegas mempertahankan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai asas beragama di Malaysia. Namun, dalam masa yang sama, kita juga mesti konsisten mengecam perbuatan kezaliman, pencerobohan, dan keganasan walau ke atas siapa pun ia berlaku.
Itulah manifestasi keseimbangan dan keadilan dalam Islam. Teguh pada akidah, adil dalam membuat penilaian, berhemah dalam berbicara, dan sentiasa berdisiplin dalam memahami hadis. Dalam zaman yang sarat dengan kekeliruan ini, itulah jalan yang paling selamat untuk dilayari oleh umat Islam.
Dr. Norazam Khair Mohd Ithnin merupakan seorang Pensyarah Kanan di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.









































