KUALA LUMPUR, 19 Mac 2026 – “Kita boleh pergi jauh apabila bersama.” Itulah mesej utama filem Raya pertama oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) yang mengetengahkan perjalanan usahawan dalam membina perniagaan berjaya melalui nilai ketekunan, kerjasama dan sokongan berterusan.
Filem ini mengisahkan tiga sahabat yang memulakan perniagaan bermusim pada bulan Ramadan. Usaha kecil mereka berkembang menjadi perusahaan yang lebih inovatif hasil gabungan idea, kemahiran dan keazaman bersama. Namun, perbezaan pandangan dan ketidakpastian menyebabkan mereka berpisah, dengan harapan untuk mencapai kejayaan secara individu.

Seiring masa, mereka menyedari bahawa kekuatan sebenar perniagaan terletak pada kerjasama dan visi bersama. Ketiga-tiga usahawan tersebut akhirnya bersatu semula dan berjaya membina semula perniagaan mereka, sekali gus membuka peluang yang lebih besar.
Pemangku Pegawai Utama SJPP, Juanita Rusmini Abdul Jalil, berkata kisah ini mencerminkan realiti yang dilalui ramai usahawan di Malaysia. Menurut beliau, keusahawanan bukanlah perjalanan yang mudah, sebaliknya memerlukan ketabahan serta sokongan yang tepat untuk terus berkembang.

Tambah beliau, mesej filem ini selari dengan landskap Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negara ini, di mana perniagaan sering bermula secara kecil tetapi berpotensi berkembang dengan sokongan ekosistem yang kukuh.
Filem Raya ini turut mencerminkan peranan SJPP dalam membantu merapatkan jurang antara aspirasi usahawan dan akses kepada pembiayaan melalui skim jaminan Kerajaan. Inisiatif ini memastikan PKS berpotensi tidak ketinggalan akibat kekangan struktur kewangan.
SJPP berharap filem Raya ini dapat memberi inspirasi kepada usahawan untuk kekal berdaya tahan dan terus merebut peluang pertumbuhan. Filem penuh boleh ditonton di saluran YouTube rasmi SJPP.

Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































