KUALA LUMPUR, 10 Mac 2026 – Anak syarikat milik penuh KJTS Group Berhad, KJ Technical Services Sdn Bhd telah memeterai Perjanjian Jual Beli Saham (SSPA) untuk mengambil alih 70.67 peratus kepentingan ekuiti dalam iHandal Holdings Sdn Bhd membabitkan pertimbangan tunai sebanyak RM10.1 juta pada 5 Mac lalu.
Langkah ini merupakan pengambilalihan strategik pertama KJTS sejak penyenaraiannya di bursa, yang bertujuan mempercepatkan peralihan syarikat daripada model perkhidmatan penyejukan kepada model perkhidmatan tenaga bersepadu bagi pelanggan intensif tenaga.
Proses pengambilalihan tersebut akan dibiayai sepenuhnya menggunakan dana dalaman syarikat dan dijangka selesai dalam tempoh 30 hari, tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan di dalam SSPA.
iHandal merupakan sebuah syarikat kejuruteraan yang memfokuskan kepada sistem pemulihan haba dan pemanfaatan haba buangan. Sistem pengurusan haba industri ini penting bagi mengurangkan kos operasi kemudahan intensif tenaga, terutamanya ketika berdepan dengan situasi kenaikan tarif elektrik masa kini.
Pengambilalihan ini juga memberi laluan kepada KJTS untuk mengakses kepakaran teknikal, harta intelek, serta pasukan pengurusan iHandal bagi memperkukuh operasi perniagaan pengurusan kecekapan tenaga di Malaysia dan rantau Asia Pasifik.
KJTS memaklumkan bahawa transaksi ini tidak dijangka memberi kesan material kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan semasa. Selepas proses pengambilalihan selesai, pengasas iHandal akan terus memantau operasi perniagaan bagi memastikan kelancaran integrasi teknikal ke dalam operasi sedia ada kumpulan.
Pengarah Urusan Kumpulan KJTS, KC Lee berkata, penyepaduan keupayaan pemulihan haba iHandal ke dalam teras perniagaan membolehkan syarikat itu menawarkan penyelesaian tenaga terma yang lebih lengkap kepada pelanggan.
“Sebagai pengambilalihan pertama kami sejak penyenaraian, kami mendekati transaksi ini dengan berhati-hati dan disiplin kewangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengasas iHandal, Aaron C. Patel berkata, gabungan bersama KJTS memberikan struktur yang kukuh untuk sistem mereka berkembang dalam persekitaran perkhidmatan tenaga yang lebih meluas.
Beliau menjelaskan bahawa sistem pemulihan haba buangan syarikatnya telah membuktikan keupayaan penjimatan tenaga sekitar 25 peratus dalam operasi industri, dan kemasukan ke dalam KJTS membolehkan kepakaran tersebut memberikan impak pada skala yang lebih besar.

Seating From left to right: Datuk Wira Johan Rozali -Wathooth FCA, CFA – Deputy Managing Director, AHAM Capital Asset Management, Aaron C. Patel – Founder, iHandal, Lee Kok Choon – Group Managing Director, KJTS Group Berhad
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































