KUALA LUMPUR, 25 Mac 2026 — Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menasihatkan orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga susulan cuaca panas melampau yang melanda beberapa negeri di semenanjung, yang setakat ini telah merekodkan 15 kes penyakit berkaitan haba termasuk satu kes kematian akibat strok haba.
Berdasarkan amaran cuaca panas yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada jam 6 pagi tadi, tiga kawasan di Kedah iaitu Pokok Sena, Pendang, dan Baling kini berada pada Tahap Amaran 2 dengan suhu maksimum harian mencecah 37 hingga 40 darjah Celsius selama sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Sementara itu, beberapa daerah di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, dan Perlis diletakkan di bawah Tahap Amaran 1 berikutan suhu yang mencecah 37 darjah Celsius.
Pemantauan berterusan KKM bermula 1 Januari hingga 24 Mac mendapati sebanyak 15 kes penyakit berkaitan cuaca panas telah dilaporkan di seluruh negara. KKM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa jumlah tersebut membabitkan 11 insiden kelesuan haba, satu kes kejang haba, dan tiga kes strok haba.
Kesemua pesakit telah pulih kecuali satu kes kematian akibat strok haba, yang melibatkan seorang kanak-kanak selepas terperangkap di dalam kenderaan tanpa disedari oleh ibu bapanya.
Pendedahan berterusan kepada cuaca panas melampau boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi kesihatan yang serius seperti sakit kepala, keletihan, kekejangan otot, dehidrasi, kekeliruan, malah boleh menyebabkan pesakit koma dan maut. Golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, pesakit kronik, dan individu yang sering melakukan aktiviti fizikal di luar bangunan adalah lebih terdedah kepada keadaan ini.
Sehubungan itu, KKM menasihatkan orang ramai supaya merancang sebarang aktiviti luar termasuk kunjung-mengunjung sempena musim perayaan dengan mengelakkan waktu puncak cuaca panas antara jam 11 pagi hingga 4 petang.
Bagi mengekalkan tahap hidrasi badan, orang awam disarankan meminum sekurang-kurangnya lapan gelas air kosong sehari walaupun tidak berasa dahaga, di samping mengurangkan pengambilan minuman manis, berkafein, dan berkarbonat. Orang ramai juga digalakkan untuk kerap mandi bagi menyejukkan badan, memakai pakaian yang longgar dan berwarna cerah, serta menggunakan pelindung diri seperti payung atau topi jika perlu berada di luar bangunan.
Dalam kenyataan yang sama, KKM memberi amaran keras agar ibu bapa tidak meninggalkan kanak-kanak bersendirian di dalam kenderaan yang tertutup di bawah sinaran matahari terik. Agensi kerajaan, institusi pendidikan, serta pusat jagaan kanak-kanak dan warga emas turut diseru untuk melaksanakan langkah pencegahan sewajarnya bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.
Individu yang mengalami sebarang gejala penyakit akibat cuaca panas dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang berhampiran.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































