AYER KEROH, 1 November 2026 – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, merasmikan Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) 2026 Peringkat Kebangsaan di perkarangan AEON Melaka Shopping Centre, Ayer Keroh, Melaka, hari ini.
Sambutan berkenaan merupakan inisiatif di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang bertujuan meningkatkan tahap celik kesihatan sertamemupuk budaya hidup sihat melalui kerjasama kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan, komuniti, institusi pendidikan, media serta masyarakat.
Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan risiko kesihatan utama orang dewasa merangkumi 15.6 peratus menghidap diabetes, 29.2 peratus hipertensi, 33.3 peratus hiperkolesterolemia, dan 54.4 peratus berlebihan berat badan atau obes.
Selain itu, hasil pemerhatian tersebut juga merekodkan 54.5 peratus mengalami obesiti abdomen, 29.9 peratus tidak aktif secara fizikal, 49.9 peratus mengamalkan gaya hidup kurang aktif, manakala 95.1 peratus tidak mengambil sekurang-kurangnya lima hidangan buah dan sayur-sayuran sehari.
Di samping itu, beliau menambah bahawa kesihatan bergantung pada amalan harian merangkumi pemakanan, aktiviti fizikal dan penjagaan kesejahteraan mental, di mana rakyat perlu memahami maklumat kesihatan dan mengamalkannya bagi mencegah penyakit.
Bagi memperkukuh peranan komuniti, Geran Projek Promosi Kesihatan MyCHAMPION (GPPKM) telah meluluskan 228 permohonan bernilai RM3,381,118.00 sejak 2025 hingga Oktober 2026, termasuk tujuh projek komuniti dari Melaka.
Pada majlis yang sama, seramai 19 sukarelawan Malaysia Community Health Agent (MyCHAMPION) menerima geran bernilai RM834,650.00 bagi melaksanakan projek intervensi pengurusan berat badan di seluruh negara demi menggalakkan perubahan tingkah laku kesihatan yang positif.
Menerusi sokongan daripada pelbagai pihak dan jaringan komuniti seperti MyCHAMPION, usaha ini dijangka mampu mendorong perubahan tingkah laku yang positif serta memupuk gaya hidup sihat sebagai budaya kekal rakyat Malaysia.
Sebuah ruang peribadi untuk merakam idea, berkongsi pengalaman dan mengabadikan hal-hal yang mencuri perhatian. Dikenali dengan nama pena Aidil Abdullah



































