LONDON, 25 Mac 2026 — Sekretariat Komanwel memberi amaran bahawa peningkatan beban hutang awam yang melumpuhkan kewangan negara memaksa kerajaan di seluruh dunia mengutamakan pembayaran balik pinjaman berbanding pelaburan untuk 1.5 bilion golongan belia.
Perkara tersebut didedahkan melalui laporan bertajuk ‘Hutang Awam dan Pembangunan Belia di Negara Anggota Komanwel’ yang dilancarkan sempena perasmian Forum Hutang Awam Komanwel di sini, baru-baru ini. Ia turut dilancarkan bersama kertas penyelidikan mengenai Kemudahan Ketahanan dan Kemampanan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Berdasarkan data daripada Indeks Pembangunan Belia Komanwel, laporan itu mendapati tekanan kewangan kerajaan telah mengalihkan sumber daripada perkhidmatan awam yang penting. Lebih membimbangkan, perbelanjaan negara untuk sektor pendidikan merekodkan penurunan berterusan sejak tahun 2011 walaupun populasi belia semakin meningkat.
Laporan tersebut juga menunjukkan bahawa tekanan kewangan yang sering diiringi dengan langkah penjimatan kerajaan telah menjejaskan peluang pekerjaan untuk golongan muda. Pada masa sama, keperluan belia masih kurang diberi perhatian dalam pembuatan keputusan ekonomi dan alam sekitar, sekali gus menyumbang kepada peningkatan ketidaksamarataan serta kerentanan.
Setiausaha Agung Komanwel, Hon Shirley Botchwey berkata, peningkatan hutang awam memberikan cabaran nyata bagi banyak negara dengan membawa akibat langsung kepada kestabilan ekonomi dan kesejahteraan sosial, terutamanya bagi golongan belia.
“Bagi banyak negara, ini melibatkan pilihan yang sukar, sama ada untuk melabur demi rakyat atau membayar hutang masa lalu. Laporan ini menawarkan panduan praktikal untuk membantu negara memahami rantaian antara hutang awam dan pembangunan belia,” katanya.
Beliau turut menggesa negara anggota agar mengintegrasikan keutamaan belia yang lebih baik dalam perancangan ekonomi, mengukuhkan perlindungan perbelanjaan pendidikan dan kesihatan, serta meningkatkan ketelusan dalam pengurusan hutang awam.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kewangan di Unit Pengurusan Hutang dan Pelaburan Kementerian Kewangan Saint Lucia, Vera John-Emmanuel menegaskan bahawa negara perlu melindungi pelaburan yang membentuk prospek belia. Beliau menyifatkan laporan itu menekankan keperluan strategi hutang yang mengimbangi tanggungjawab fiskal dengan pembangunan jangka panjang agar generasi akan datang tidak terbeban dengan keputusan hari ini.
Turut mengulas mengenai impak hutang antara generasi, pelajar Universiti Plymouth, Dinithi Gunasekara berkata, laporan itu sangat bernas kerana mengklasifikasikan bebanan hutang bukan sahaja sebagai isu ekonomi, malah sebagai isu sosial yang memerlukan pembiayaan serta penggubalan dasar yang bertanggungjawab.
Forum pengurusan hutang yang menghimpunkan pengurus hutang dari negara anggota Komanwel itu akan berakhir pada 27 Mac ini. Ia dianjurkan sebagai sebahagian daripada Tahun Hutang Bingkas, Inovatif dan Mampan Komanwel bagi membantu negara memperkukuh dasar serta operasi pengurusan hutang awam.
Sumber: The Commonwealth
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































