KUALA LUMPUR, 14 April 2026 — KPJ Healthcare Berhad dan Novo Nordisk Malaysia hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh penjagaan berstruktur berasaskan hospital untuk individu yang berdepan dengan masalah obesiti dan komplikasi metabolik.
Kerjasama strategik ini bakal menyokong pembangunan Program Pengurusan Metabolik dan Berat Badan KPJ, iaitu sebuah model rawatan komprehensif yang diterajui pakar melalui pendekatan pelbagai disiplin perubatan dalam persekitaran klinikal yang terkawal.
Inisiatif ini dilaksanakan tepat pada masanya memandangkan Malaysia sedang berdepan dengan beban kesihatan awam yang kritikal. Menurut data saringan terkini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), satu daripada dua orang dewasa di negara ini mengalami masalah berat badan berlebihan, manakala 15.6 peratus atau kira-kira satu daripada enam orang dewasa hidup dengan diabetes. Penyakit obesiti ini juga dianggarkan menelan kos lebih RM64 bilion setahun dari segi perbelanjaan penjagaan kesihatan, kehilangan produktiviti dan kadar kematian pramatang.
Bagi fasa pertama yang akan dilancarkan secara berperingkat dalam tempoh 12 bulan, program rawatan ini bakal diperkenalkan di 10 buah hospital pakar KPJ. Rangkaian hospital yang terlibat merangkumi Ampang Puteri, Damansara, Ipoh, Johor, Klang, Pulau Pinang, Selangor, Kuching dan Tawakkal.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Chin Keat Chyuan berkata, obesiti adalah penyakit kronik kompleks yang berkait rapat dengan spektrum penyakit tidak berjangkit yang lebih luas, sekali gus menuntut pengurusan jangka panjang yang terselaras. Melalui kerjasama ini, pihak KPJ dapat memperkukuh langkah penjagaan yang lebih berstruktur dan bersepadu di semua rangkaian hospital mereka. Langkah ini turut mencerminkan komitmen berterusan penyedia penjagaan kesihatan itu untuk menawarkan rawatan berpusatkan pesakit yang mudah diakses, lestari dan berfokuskan hasil.
Program penjagaan yang memakan masa sehingga enam bulan ini akan menyepadukan tenaga pakar daripada pelbagai bidang Profesional Kesihatan Sekutu. Ia membabitkan kepakaran Endokrinologi yang melibatkan 19 pakar perunding untuk fasa pertama, Perubatan Dalaman, Pembedahan Bariatrik, Psikologi, Dietetik, Fisioterapi, Rehabilitasi dan juga Farmasi.
Sementara itu, Pengurus Besar Novo Nordisk Malaysia, Praful Chakkarwar menyifatkan penyediaan laluan penjagaan yang dipantau secara perubatan berserta kepakaran klinikal yang tepat adalah amat penting seiring dengan peningkatan kesedaran masyarakat tentang penyakit kronik ini. Beliau berharap kerjasama tersebut dapat memberikan rawatan yang menyeluruh kepada pesakit.
Selain fokus kepada aspek rawatan, inisiatif ini turut meneroka program Pendidikan Perubatan Berterusan (CME) serta kempen komunikasi yang bertanggungjawab di platform media sosial. Usaha ini bertujuan untuk mendidik masyarakat mengenai pengurusan obesiti yang tepat, termasuklah penggunaan terapi berasaskan GLP-1 yang bersesuaian dengan piawaian perubatan terkini.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.

















![[Dari kiri ke kanan] Encik Ahmad Rizal Che Wan, Pengarah Bersekutu Kewangan & Operasi Novo Nordisk, Dr Praful Chakkarwar, Pengurus Besar Novo Nordisk, bersama Profesor Dato’ Dr Hanafiah Harunarashid, Pengarah Perubatan Utama KPJ Healthcare dan Encik Chin Keat Chyuan, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman bagi memperingati kerjasama antara KPJ Healthcare dan Novo Nordisk.](https://www.aksesmalaysia.my/mywp22/wp-content/uploads/2026/04/KPJ-Healthcare-Novo-Nordisk-bekerjasama--750x536.jpg)



























